485,939 pengundi baharu berusia 18 tahun adalah warga Sabah

Pertambahan pengundi baharu itu menjadikan jumlah pemilih berdaftar keseluruhan di Sabah meningkat kepada 1,670,354 orang. - Foto Bernama
Pertambahan pengundi baharu itu menjadikan jumlah pemilih berdaftar keseluruhan di Sabah meningkat kepada 1,670,354 orang. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 485,939 orang daripada 5.7 juta pemilih baharu berumur 18 tahun dari seluruh negara yang telah didaftarkan adalah warga Sabah berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) pertama diwartakan pada 14 Januari lepas, kata Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah pemilih berdaftar keseluruhan di Sabah meningkat daripada 1,184,415 orang sebelum ini kepada 1,670,354 orang.

Hajiji berkata, pertambahan jumlah pemilih ini sudah tentu akan memberikan kesan kepada pertambahan jumlah pemilih di setiap Dewan Undangan Negeri.

"Saya percaya semua wakil rakyat berbesar hati menerima pertambahan jumlah pemilih (berumur 18 tahun) kerana ia telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 16 dan 25 Julai 2019 lalu," katanya pada Sesi Libat Urus Pelaksanaan Umur Kelayakan Mengundi 18 Tahun dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik di sini pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.

Hajiji berkata, pertambahan jumlah pengundi ini juga sudah pasti menjadikan tanggungjawab wakil rakyat semakin lebih besar.

"Justeru, saya meminta kepada semua wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar terus berusaha untuk mendekati pengundi muda di kawasan masing-masing dan perbanyakkan aktiviti bersama golongan muda, yang akan memberi manfaat kepada mereka," tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: