Import ayam sejuk beku dikhuatiri jejas industri ayam negara

Nasir (kiri) bersama Zulkifli (kanan) pada sidang akhbar yang diadakan di Universiti Putra Malaysia pada Jumaat.
Nasir (kiri) bersama Zulkifli (kanan) pada sidang akhbar yang diadakan di Universiti Putra Malaysia pada Jumaat.
A
A
A

SERDANG - Pengimportan ayam bulat sejuk beku untuk jangka panjang dikhuatiri akan menjejaskan industri ayam negara.

Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Zulkifli Idrus berkata, ini disebabkan industri ayam di negara ini adalah termaju.

“Ini (pengimportan ayam untuk jangka panjang) kita tak mahu. Banyak syarikat yang terlibat dalam industri ayam di Malaysia (terdiri daripada) syarikat senaraian awam.

“Kita tak mahu industri kita ini terjejas. Sekiranya kita nak import boleh untuk jangka masa pendek, tetapi kalau berterusan saya bimbang kemungkinan dia boleh menjejaskan. Kesan dia tak baik,” katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.

Hadir sama Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian UPM, Profesor Datuk Dr M Nasir Shamsudin.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) sebelum ini dilapor tidak bercadang untuk mengurang atau menghentikan import ayam bulat sejuk beku di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, walaupun kerajaan telah melaksanakan pemberian subsidi sebanyak 60 sen sekilogram kepada penternak tempatan, namun bekalan ayam import dapat menampung kekurangan ayam pada masa ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli menambah, kerajaan perlu memikirkan perkara berkenaan kerana ramai rakyat Malaysia terlibat dalam industri ayam di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan kerajaan yang turut mengawal harga ayam, Nasir menyatakan untuk jangka pendek ia boleh dibenarkan.

“Tapi jangan gunakan untuk jangka masa panjang. Sebab apa, kawalan harga itu kadang-kadang akan memberi kesan yang negatif kepada pengeluaran.

“Maksudnya pengeluar dan penternak juga ada kos pengeluarannya dan mesti ada margin. Kalau kawalan harga itu terlalu rendah supaya harga runcit itu rendah, maka ia akan memberi kesan kepada industri,” ujarnya.

Beliau dalam masa yang sama turut mencadangkan agar kerajaan menyasarkan pemberian subsidi kepada miskin tegar dengan memberikan baucar kepada mereka.

“Contohnya kita ada subsidi ayam seperti 60 sen per kilogram. Dana itu boleh digunakan untuk beri subsidi kepada mereka yang miskin tegar.

“Jadi dia gunakan baucar itu untuk membeli ayam. Dengan itu kita dapat membantu mereka yang miskin tegar,” katanya.