Negara pengeksport kekurangan bekalan ayam sejuk beku

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kelewatan ayam sejuk beku dibawa masuk ke negara ini adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan dari negara pengeksport, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Beliau berkata, sehingga 7 Mac lepas, sebanyak 4,000 tan metrik ayam beku telah dibawa masuk oleh 14 syarikat yang mempunyai Permit Import (AP).

"Kita dapat maklumat Thailand mempunyai kekurangan bekalan serta harga yang tidak kompetitif, mereka juga turut beralih kepada sumber protein ayam kerana penyakit Demam Babi Afrika (ASF), menjadikan permintaan di Thailand meningkat lalu pengeluaran menurun.

"China juga mempunyai kekurangan bekalan dan cuba mendapatkan bekalan dari Thailand,” katanya menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang ingin tahu halangan yang dihadapi syarikat AP bagi membawa ayam sejuk beku masuk ke negara ini pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Disember tahun lepas berkata, kerajaan akan mengimport ayam sejuk beku bagi menampung permintaan dan membolehkan rakyat mendapat bekalan pada harga lebih rendah berbanding ayam segar tempatan.

Susulan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan memaklumkan, kebenaran pengimportan ayam sejuk beku adalah untuk tempoh tiga bulan bermula Disember 2021 hingga Februari lepas.

Mengulas mengenai langkah kerajaan bagi memastikan pengusaha ayam tempatan tidak terjejas dengan kemasukan ayam import itu, Ahmad berkata, kemasukan ayam import tidak menjejaskan pengusaha ayam tempatan kerana kebenaran mengimport yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 1 Disember lepas hanya bersifat sementara sehingga bekalan ayam dalam negara stabil.

"Jumlah pengimportan adalah dalam kuantiti yang kecil meliputi 8.8 peratus daripada keperluan pengguna. Purata keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak 3,762 tan metrik (2.1 juta ekor) sehari atau 113,220 tan metrik (62.9 juta ekor) sebulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan juga telah memperuntukkan RM528.52 juta bagi meringankan beban penternak ayam tempatan dengan memberi subsidi telur bermula dari 5 Februari hingga 5 Jun depan. - Bernama