PDRM terus perkasa integriti, pertahan kedaulatan undang-undang

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Jumaat.- Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Jumaat.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperkasakan integriti bagi mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, melangkah ke-215 tahun usia penubuhan PDRM, beliau serta seluruh warga pasukan memperbaharui sumpah taat setia kepada raja dan negara serta berikrar untuk memastikan keselamatan rakyat serta kedaulatan negara terus terpelihara.

Katanya, seluruh warga PDRM akan melaksanakan tugas secara profesional demi mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Dengan mengekalkan tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada", seluruh warga PDRM sentiasa sedia berkhidmat dan berdiri teguh di bawah naungan panji Sang Saka Biru untuk memikul tanggungjawab dan amanah bagi memelihara keselamatan masyarakat dan keamanan negara.

"Segala pengorbanan, jerih perih dan titisan darah pahlawan-pahlawan terdahulu, demi nikmat keamanan yang dikecapi kini akan terus kami perjuangkan dan diwariskan pula kepada generasi pelapis Sang Saka Biru akan datang," katanya semasa berucap sempena Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, pada Jumaat.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN); Datuk Seri Hamzah Zainudin; pengarah jabatan PDRM dan pegawai-pegawai kanan.

Tambah Acryl Sani, dalam usaha memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan pasukan, kerajaan dan KDN telah meluluskan perolehan aset dan peralatan seiring dengan kemajuan teknologi terkini kepolisan moden.

Justeru, PDRM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan dan KDN yang amat prihatin keperluan PDRM.

Artikel Berkaitan:

"Di samping itu, kerajaan juga memperuntukkan dana yang besar untuk kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan warga PDRM yang berkhidmat serta seisi keluarga dan para pesara polis," ujarnya.

Dalam pada itu, PDRM menzahirkan kesediaan untuk menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan demi mendukung dasar dan usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat.

"Buat seluruh warga PDRM, sesungguhnya saya berbangga dengan anda semua sebagai wira-wira negara yang menjadi tunjang utama kekuatan pasukan dalam mengekalkan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat serta tanah air ini daripada pelbagai bentuk ancaman jenayah, sehinggalah ke cabaran krisis kesihatan dan bencana alam," katanya.