Ketulusan MoU kerajaan, pembangkang diragui kerana kegagalan Sosma

Situasi di sekitar Dewan Rakyat ketika sesi undi belah bahagian bagi penggulungan perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Situasi di sekitar Dewan Rakyat ketika sesi undi belah bahagian bagi penggulungan perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan kerajaan dalam mengusulkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat pada Rabu ini dijangka akan menjadi perbincangan hangat apabila mencatat sejarah buat pertama kalinya blok pembangkang menang dalam penentuan undi belah bahagi.

Melalui undi yang dijalankan, hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju, manakala seramai 50 orang lagi tidak hadir.

Perkara tersebut menimbulkan pelbagai reaksi daripada pemimpin politik yang lain dan ada yang mengaitkannya dengan isu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan antara kerajaan dan pembangkang.

Sehinggakan timbul desas-desus yang mengatakan bahawa kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada kini telah diragui susulan kejadian berkenaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebooknya pada Khamis berkata, kegagalan kerajaan sedia dalam perkara tersebut jelas membuktikan bahawa ia tidak lagi dihormati.

Ujarnya, kegagalan itu juga menyebabkan kedudukan kerajaan tidak stabil dan tidak berupaya untuk mengemukakan dasar yang baik dengan lancar.

Ahmad Zahid berkata, MoU antara kerajaan dan pembangkang juga hanya dilihat sekadar janji di atas kertas.

Selain itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan secara peribadi berpandangan pembangkang telah melanggar MoU.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga ahli Parlimen Pontian itu berkata, kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lagi terikat dengan MoU yang dimeterai bersama pembangkang sebelum ini.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah memaklumkan bahawa MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tidak tergugat atau terbatal meskipun usul kerajaan gagal diluluskan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, perkara itu berdasarkan klausa 4.1 dalam MoU tersebut yang memperuntukkan sesuatu tidak tamat secara automatik sekiranya usul kerajaan tidak disokong.

Di samping itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga bersetuju bahawa usul Sosma tidak ada kaitan dengan MoU Transformasi dan Kestabilan.

Pada masa yang sama, beliau turut mengajak semua semua ahli Parlimen untuk memberi fokus dalam hal-hal Dewan Rakyat dan isu rakyat Malaysia berbanding membubarkan Parlimen.

Kata Syed Saddiq, ia kerana usul kerajaan mengenai Sosma tidak diluluskan susulan ramai ahli-ahli Parlimen dari blok kerajaan tidak hadir.

Namun begitu, dijangka persediaan bagi memperkukuhkan hubungan antara kerajaan dan pembangkang pasti akan dilakukan supaya kepimpinan kerajaan sedia ada tidak diragui dan kekal stabil.