Usaha bina hubungan baik Persekutuan, kerajaan pembangkang

Anwar
Anwar
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [KEMAS KINI] Kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha membina hubungan baik dengan kerajaan negeri yang diterajui pembangkang bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa didahulukan selaras konsep MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini dapat dibuktikan apabila Kerajaan Persekutuan tetap mengutamakan apa-apa keperluan yang diminta kerajaan negeri yang bersifat segera dan mendesak, walaupun terdapat perbezaan politik.

Beliau berkata, sebagai contoh, Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah projek Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Golok, Kelantan, berikutan masalah banjir yang sering dialami negeri di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) itu.

"Kerana masalah banjir ini serius, masalah banjir di Kelantan lebih berat daripada masalah banjir di Permatang Pauh, jadi walaupun kita boleh bantu sedikit di sini (Pulau Pinang) kita kena beri keutamaan (Kelantan) walaupun kerajaan negeri itu berbeza parti, ini kenyataan.

"Sebab itu saya nak bezakan fakta dan rekaan, rekayasa, di dalam politik kita kena beringat,” katanya dan menambah apa yang dituturkan mestilah berdasarkan fakta dan bukan semberono.

Anwar berkata demikian pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi di sini pada Jumaat.

Anwar berkata, dalam pertemuannya dengan Menteri Besar Kelantan, beliau juga mengambil maklum cadangan-cadangan penambahbaikan yang diutarakan, dengan sebahagiannya dipersetujui beliau dan turut mengarahkan pihak yang berkaitan untuk mengambil tindakan segera.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, hubungan baik dengan kerajaan negeri juga dibuktikan menerusi lawatannya ke Terengganu esok, apabila Menteri Besar Terengganu sendiri turut mengalu-alukan kedatangan tersebut dan memberikan kerjasama yang baik.

"Itulah cara kerjasama Persekutuan dengan negeri, masa pilihan raya kita lawanlah, lepas itu amanlah, baru boleh jaga kehidupan rakyat. Jadi itulah yang saya harap dalam kalangan kita supaya ada semangat bahawa perbezaan ini mempertajam hubungan persaudaraan dalam kalangan kita," katanya.

Beliau berkata, walaupun terdapat naratif yang mengatakan bahawa beliau tidak memberikan peruntukan sama rata kepada negeri, namun hakikatnya, peruntukan untuk empat negeri yang dipimpin PN tetap ditambah dalam Belanjawan 2023.

"Peruntukan bagi Kelantan, Perlis, Terengganu, Kedah pun saya tambah, walaupun (Kedah) ada celaru sikit," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, masjid berperanan penting sebagai tonggak memperkukuh keimanan, dengan jawatankuasa masjid perlu mengimarahkan rumah Allah itu menerusi aktiviti-aktiviti yang boleh membawa kefahaman kepada Islam dan mengelakkan perpecahan.

"Masjid lambang keislaman dan kehidupan masyarakat Islam, ia bukan didirikan untuk kebanggaan atau bermegah-megah tapi untuk membawa ketakwaan kepada Allah SWT," katanya.

Sebelum itu, Anwar melancarkan pembangunan Masjid Mengkuang Titi yang akan dibina dengan kos keseluruhan RM9 juta iaitu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM5.4 juta dan RM1.1 juta daripada kerajaan negeri manakala baki RM2.5 juta lagi adalah hasil sumbangan diperoleh pihak pengurusan masjid.

Masjid dengan reka bentuk bangunan dua tingkat itu dibina di tanah berkeluasan 1.29 hektar milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang dijangka mampu menampung sejumlah 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Anwar berkata projek berkenaan yang telah diusulkan kariah kampung itu sejak 2019 akan dimulakan secepat mungkin. - Bernama