'Jangan terburu-buru mahu gesa Parlimen dibubarkan'

Tangkap layar kenyataan Syed Saddiq di Facebook. (Gambar kecil: Syed Sadiq)
Tangkap layar kenyataan Syed Saddiq di Facebook. (Gambar kecil: Syed Sadiq)
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengajak semua ahli Parlimen untuk memberi fokus dalam hal-hal Dewan Rakyat dan isu rakyat Malaysia berbanding membubarkan Parlimen.

Syed Saddiq berkata, ia kerana pada Rabu usul kerajaan mengenai Subseksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak diluluskan susulan ramai ahli-ahli Parlimen dari blok kerajaan tidak hadir.

“Ada 32 senarai ahli Parlimen kerajaan yang tidak muncul.

“Majoriti semalam (Rabu) pun hanya dua undi kepada pembangkang tetapi peraturan tetap peraturan maka usul kerajaan berkenaan Sosma berjaya ditolak.

“Jadi, Janganlah terburu-buru mahu gesa Parlimen dibubarkan dan buka laluan untuk pilihan raya YB (Datuk Seri Ahmad Maslan),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang tidak mengambil bahagian semasa undian berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) pada Rabu kerana difahamkan tiada pengundian.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, usul Sosma tidak ada kaitan dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan.

“Ada juga YB petik untuk batalkan MoU, tetapi usul yang dipersetujui di dalam MoU antara kerajaan dan pembangkang adalah perihal undang-undang perbekalan atau kewangan, maka usul Sosma tidak ada kaitan dengan MoU.

Artikel Berkaitan:

“Boleh rujuk Fasal 3.3(b) dan Fasal 9 dalam MoU antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan,” ujarnya.