Jangan 'teruja' rentas sempadan

Ahmad (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada usahawan berjaya selepas merasmikan Majlis 'Jjupo mato' bersama rakyat dan Taman Bandar Tumpat di Kampung Baru Nelayan, Tumpat pada Khamis.
Ahmad (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada usahawan berjaya selepas merasmikan Majlis 'Jjupo mato' bersama rakyat dan Taman Bandar Tumpat di Kampung Baru Nelayan, Tumpat pada Khamis.
A
A
A

TUMPAT - Kerajaan negeri Kelantan mengingatkan rakyat supaya jangan terlalu 'teruja' untuk ke negara jiran sebaik sahaja pintu sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dibuka pada 1 April ini sekiranya tidak mempunyai sebarang urusan penting.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, langkah tersebut amat penting dalam usaha mengurangkan peningkatan jangkitan Covid-19 sebaik sahaja negara melangkah ke fasa endemik bermula 1 April ini.

"Nasihat saya, sekiranya ada keperluan penting seperti urusan perniagaan dan sebagainya bolehlah ke negara jiran.

"Namun pastikan segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan perlu dipatuhi dengan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis 'Jjupo mato' bersama rakyat dan Taman Bandar Tumpat di Kampung Baru Nelayan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Datuk Azami Mohd Nor, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha dan Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah.

Menurutnya, buat masa ini kerajaan negeri sedang menunggu SOP dan arahan yang akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, rakyat disaran untuk terus kekal patuh kepada SOP sepanjang Ramadan.

"Kalau ada jamuan 'moreh', saya harap jemaah dapat mengambil makanan itu dan menjamah hidangan itu di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini kerana kita masih berperang dengan Covid-19. Jadi sama-samalah kita cegah perkara tersebut menerusi SOP," katanya.