Terengganu bangunkan zon penternakan unggas

Azman
Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu telah membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telaga Papan, Setiu dan TKPM Mengabang Bakong, Kuala Nerus sebagai zon penternakan unggas yang dilengkapi dengan infrastruktur asas.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, zon penternakan unggas tersebut merupakan antara langkah kerajaan memajukan industri ternakan dan memenuhi bekalan ayam negeri ini.

Menurutnya, setakat ini Terengganu mempunyai 128 ladang ayam di seluruh negeri yang mampu menghasilkan 3.3 juta ekor ayam bagi satu pusingan pengeluaran atau 17 juta ekor setahun melibatkan lima pusingan.

“Pada tahun lalu, sebanyak 30,722 metrik tan ayam telah dihasilkan berbanding 42,880 metrik tan keperluan rakyat negeri ini dengan Tahap Sara Diri (SSL) sebanyak 64.18 peratus.

“Bagaimanapun, Terengganu belum mempunyai ladang ayam penelur dan keperluan telur ayam di negeri ini adalah sebanyak 465 juta biji setahun yang dibekalkan dari ladang-ladang ayam penelur luar Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepoh) mengenai rancangan kerajaan dalam menggiatkan penternakan unggas bagi menyokong bekalan ayam dan telur dalam pasaran tempatan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini pada Khamis.

Dr Azman berkata, selain pembangunan zon penternakan unggas di dua kawasan tersebut, Jabatan Perkhidmatan Veteriner (JPV) turut melaksanakan Enakmen Perladangan Unggas bagi pembangunan ladang lebih bersistematik.

Katanya, pengurusan ladang yang baik mampu meningkatkan pengeluaran ayam sekaligus mencapai keperluan ayam di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri mengalu-alukan pemaju yang berminat dalam industri ternakan unggas bagi memanfaatkan ruang lot di TKPM Telaga Papan dan Mengabang Bakong yang lengkap dengan infrastruktur asas seperti jalan serta bekalan elektrik.

“Kadar sewaan lot tanah ini adalah murah iaitu sebanyak RM200 setahun bagi satu hektar,” katanya.