KKM cadang ahli Parlimen, Senator wajib jalani pemeriksaan kesihatan

Mohd Rashid - Foto Bernama
Mohd Rashid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan semua ahli Parlimen dan Senator diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mengumumkan perkara itu berkata, cadangan tersebut dikemukakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau memaklumkan, cadangan tersebut mendapat sokongan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.

"Tan Sri Yang Dipertua (Azhar Azizan) telah menerima satu cadangan daripada Menteri Kesihatan untuk mewajibkan pemeriksaan kesihatan bagi semua ahli Parlimen dalam memastikan kesejahteraan kesihatan kita semua.

"Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara (Rais) menyokong inisiatif ini.

"Sehubungan itu, mekanisme pemeriksaan kesihatan ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dan akan dimaklumkan kepada ahli-ahli Yang Berhormat," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Pada 17 Mac lalu, Rais memaklumkan beliau menyambut baik cadangan Khairy bagi mewajibkan Ahli Dewan Negara menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Cadangan itu dikemukakan rentetan kajian yang dibuat bermula Julai 2018 hingga November 2020 melaporkan, kes penyakit tidak berjangkit (NCD) semakin meningkat terutama penyakit jantung, darah tinggi dan kanser.

Artikel Berkaitan: