1MDB: Saksi di Singapura setuju beri kerjasama siasat kes suami Zeti

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa saksi di Singapura sudah bersetuju untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes Datuk Dr Tawfiq Ayman berkaitan dakwaan beliau menerima dana 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sepasukan pegawai penyiasat akan ke negara terbabit pada 29 hingga 31 Mac ini.

"Siasatan bagi mendapatkan keterangan dan juga dokumen yang diperlukan, sebelum dirujuk semula kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Kita ada saksi-saksi di sana membabitkan perbankan yang bersetuju untuk memberi kerjasama," katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Mohd Kamarudin memaklumkan mungkin terdapat beberapa tambahan keterangan saksi lain bergantung kepada keadaan.

Terdahulu, Tawfiq yang juga suami kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.

Beliau menegaskan tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng jauh sekali bertemu atau berkomunikasi dengan mereka.

Kenyataan itu hadir susulan keterangan diberikan Leissner yang juga bekas pengerusi syarikat perbankan, Goldman Sachs pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahannya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam perbicaraan itu, Leissner dilaporkan menyebut kegiatan rasuah membabitkan Tawfiq mengenai projek usaha sama PetroSaudi-1MDB.

Sebelum ini, SPRM dilapor mendedahkan, sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik Tawfiq.

Siasatan ke atas Tawfiq itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.