Graduan perlu patuhi perlembagaan, undang-undang: Sultan Selangor

Baginda mahu graduan membantu universiti untuk berada pada landasan betul bagi membina generasi berilmu dan berwawasan, sekali gus membawa UPM ke mercu kejayaan.

Sultan Sharafuddin menyampaikan ijazah kepada salah seorang penerima pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-45 UPM di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, Serdang pada Sabtu.
Sultan Sharafuddin menyampaikan ijazah kepada salah seorang penerima pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-45 UPM di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, Serdang pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan graduan universiti agar menyanjung tinggi perlembagaan dan undang-undang agar mereka bebas daripada salah laku yang boleh mencalarkan maruah keluarga, bangsa dan negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan Selangor Royal Office, baginda bertitah, sikap sedemikian menjadikan graduan sebagai warganegara bertanggungjawab dan berintegriti tinggi.

"Baginda turut menggesa graduan universiti untuk meneruskan hubungan baik dengan 'alma mater' (pusat pengajian) sebagai tanda syukur atas pengorbanan yang dicurahkan bagi membantu mencapai kejayaan," kata kenyataan itu di Facebook pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, selain menyumbang kepada pembangunan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), baginda mahu graduan membantu universiti untuk berada pada landasan betul bagi membina generasi berilmu dan berwawasan, sekali gus membawa UPM ke mercu kejayaan.

"Baginda juga menegaskan adalah tidak munasabah jika ada pihak meragui kualiti graduan UPM hanya semata-mata bersandarkan jumlah graduan yang dihasilkan kerana universiti itu sentiasa memastikan semua graduannya berkualiti sebagaimana yang telah ditetapkan.

Sultan Sharafuddin Idris sebelum ini berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen Kali Ke-45 UPM di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, Serdang pada Sabtu lalu.

Baginda menyampaikan ijazah kepada lebih 800 graduan UPM pada sesi hari pertama.

Turut berangkat Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang kini merangkap Pro-Canselor UPM.

Artikel Berkaitan:

Tengku Amir juga berkenan menyampaikan ijazah kepada graduan pada hari kedua dan ketiga majlis konvokesyen berkenaan.