Sultan Nazrin perkenan kebenaran solat tarawih, ibadah Ramadan

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke taklimat Majlis Keselamatan Negara dan Pengarah Kesihatan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Rabu. - Foto Bernama
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke taklimat Majlis Keselamatan Negara dan Pengarah Kesihatan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan solat sunat tarawih dan aktiviti ibadah lain dibenarkan dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh negeri pada Ramadan ini.

Kebenaran itu adalah berdasarkan pelaksanaan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Pihak Berkuasa Agama Negeri bagi aktiviti ibadah di masjid dan surau.

Baginda bertitah, meskipun Perak pada lazimnya menetapkan 20 rakaat bagi solat tarawih, dalam tempoh peralihan ini, jawatankuasa dan pegawai masjid atas pertimbangan meminimumkan risiko jangkitan, diberikan budi bicara menentukan bilangan rakaat yang difikirkan munasabah di masjid dan surau masing-masing.

"Untuk meminimumkan tempoh pendedahan jemaah kepada udara yang terperangkap dalam bangunan, tazkirah yang dibenarkan selepas solat witir hendaklah tidak melebihi 30 minit.

"Tadarus al-Quran, kuliah, kelas pengajian serta program qiamullail dan iktikaf pada waktu malam di masjid dan surau dibenarkan dengan mengambil langkah-langkah preventif jangkitan berpandukan nasihat Jabatan Kesihatan.

"Hidangan berbuka puasa (iftar), hidangan selepas tarawih (moreh) dan hidangan sahur di masjid dan surau juga dibolehkan dengan penyediaan makanan bungkus dan tidak dibenarkan jamuan secara hidangan terbuka, terutama selepas tarawih," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam sesi sembah taklimat aktiviti masjid dan surau negeri Perak bagi fasa peralihan endemik di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Sempena peralihan ke fasa endemik, Sultan Nazrin turut memperkenankan agar solat fardu, solat Jumaat dan solat jenazah dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal dengan bilangan jemaah mengikut keluasan ruang masjid dan surau bermula 1 April ini.

Artikel Berkaitan:

Baginda bertitah, kebenaran solat Jumaat turut diberikan dilaksanakan dalam surau, bangunan atau kawasan institusi bagi pelajar sekolah asrama penuh, pengetua sekolah dan pengetua pusat pengajian sama ada universiti, maktab atau kolej demi melindungi keselamatan mereka.

"Beta amat memahami hasrat umat Islam untuk meningkatkan aktiviti keagamaan dan ibadah secara berjemaah dan berkumpulan terutama dalam bulan Ramadan.

"Pada masa yang sama Beta juga wajib memenuhi tanggungjawab lebih besar kepada pelbagai konstituen di dalam negeri, memikirkan kesan kepada sistem pendidikan dan pembelajaran anak-anak sekolah yang terjejas, memastikan kegiatan ekonomi dan sumber hidup rakyat terutama para peniaga, pengusaha dan pekerja sendiri, tidak lagi terpaksa dihentikan.

"Untuk itu Beta perlu mengimbangkan antara memperkenankan tahap kelonggaran dengan faktor risiko, demi mengelak daripada berlakunya satu gelombang baharu," kata baginda.

Dalam perkembangan sama, Sultan Nazrin bertitah, sekiranya terdapat angka jangkitan yang kritikal di kawasan tertentu, Pegawai Tadbir Agama Daerah setelah berunding dan mendapat persetujuan Orang Besar Jajahan atau Pegawai Daerah, boleh mengeluarkan arahan menggantung mana-mana masjid dan surau daripada kelonggaran SOP yang diperkenankan itu.

Baginda turut menegaskan semua aktiviti, pengurusan dan kesan terhadap perkara-perkara yang diperkenankan itu akan dipantau secara teliti dan laporannya akan dipersembahkan kepada baginda secara berkala.

Jelas baginda, outcome daripada kelonggaran awal itu akan menjadi penentu dan panduan kepada aktiviti yang akan diperkenankan untuk menyambut Hari Raya yang akan diumumkan pada waktu yang sesuai setelah baginda berpuas hati bahawa risiko jangkitan berjaya diminimumkan dan dapat dibendung secara berkesan.

"Beta memahami harapan rakyat, namun rakyat perlulah mengamalkan budaya berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian.

"Bersyukurlah dengan apa yang telah dibenarkan ketika ini yang jauh lebih baik daripada apa yang dilalui dalam dua Ramadan yang lalu.

"Rakyat sewajarnya bersyukur dengan pelangi harapan yang terlukis di kaki langit. Semoga pelangi harapan ini akan disusuli dengan pancaran sinar yang lebih terang menjelang Syawal nanti agar Aidilfitri akan dapat disambut dalam suasana yang lebih meriah," kata baginda.

Sementara itu, Sultan Nazrin turut menzahirkan keprihatinan terhadap kadar peratusan penerima suntikan bosster di negeri ini yang masih rendah terutama dalam kalangan penduduk luar bandar dan umat Islam sendiri.

Justeru kata baginda, Orang Besar Jajahan dan Pegawai Tadbir Agama Daerah hendaklah berperanan aktif menyedarkan rakyat di luar bandar akan pentingnya ditingkatkan daya tahan tubuh atau imuniti untuk menangani wabak Covid-19.

"Orang Besar Jajahan dan Pegawai Tadbir Daerah hendaklah turun ke kariah-kariah, menjalinkan kerjasama dengan jawatankuasa masjid dan surau mengenal pasti ahli-ahli kariah yang mungkin perlu dibantu daripada segi pemahaman dan daripada segi urusan untuk mendapatkan suntikan.

"Di mana sesuai aktiviti suntikan boleh dilakukan di perkarangan masjid dan surau," kata baginda.

Pada 15 Mac lalu, Sultan Nazrin telah menitahkan Menteri Besar, Orang Kaya Bendahara, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bersama Pengarah MKN Perak dan Pengarah Kesihatan Negeri untuk menyembahkan status Covid-19 sebelum menetapkan bentuk aktiviti dan kaedah pelaksanaan yang sesuai diberikan perkenan, terutama ketika berada dalam bulan Ramadan yang disusuli dengan sambutan Hari Raya.