Polis tahan enam lelaki, sindiket dadah tumpas

Kamarul Zaman (dua dari kiri) menunjukkan pistol yang dirampas menerusi serbuan ke atas sindiket dadah di sekitar Kulai dan Johor Bahru pada Sabtu lalu.
Kamarul Zaman (dua dari kiri) menunjukkan pistol yang dirampas menerusi serbuan ke atas sindiket dadah di sekitar Kulai dan Johor Bahru pada Sabtu lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan enam individu bersama dadah bernilai hampir RM800,000 dalam lima serbuan di sekitar Kulai dan Johor Bahru pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, enam lelaki berusia 32 hingga 46 tahun itu diberkas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor sekitar jam 7 hingga 9.40 malam.

Menurut beliau, turut dirampas dadah seberat 127.73 kilogram (kg) membabitkan 10.31kg heroin, 9.93kg syabu, 107.07kg ganja dan 422 gram 'magic mushrooms' yang boleh dibekalkan kepada seramai 208,692 orang penagih.

"Polis turut merampas sepucuk pistol jenama Baretta bersama satu kelopak dan enam butir peluru selain menyita enam kenderaan pelbagai jenis," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor di sini pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Beliau memberitahu, melalui serbuan sama, polis merampas wang tunai RM13,400 dan beberapa mata wang asing.

Kamarul Zaman berkata, modus operandi sindiket berkenaan ialah mengubahsuai kereta atau lori bertujuan membawa bekalan dadah yang diseludup dari utara untuk pasaran tempatan dan negara jiran.

Tambah beliau, sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak Mac tahun lalu dan menyembunyikan dadah di rumah anggota mereka.

Artikel Berkaitan:

"Hasil saringan urin mendapati empat suspek positif dadah dan tiga lagi mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Kesemua suspek kini direman tujuh hari bermula Ahad mengikut Seksyen 39B Akta Badah Berbahaya 1952 pistol yang dirampas akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api ( penalti lebih berat) 1971," katanya.