Perak, MAHB tunggu kelulusan VTL Ipoh-Singapura

Nolee Ashilin (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara dan Hari Seniman Negara peringkat negeri di Auditorium JKKN Perak pada Selasa.
Nolee Ashilin (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara dan Hari Seniman Negara peringkat negeri di Auditorium JKKN Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang mendapatkan kelulusan daripada kerajaan pusat untuk membuka Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui udara bagi laluan Ipoh ke Singapura.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, inisiatif VTL itu akan dapat memajukan lagi sektor pelancongan domestik di negeri ini khususnya dengan pembukaan sempadan negara pada April depan.

"Walaupun VTL bagi Ipoh ke Singapura belum dibuka sepertimana Pulau Pinang, MAHB menyatakan bahawa mereka telah pun bersedia.

"Saya difahamkan perkara itu dalam peringkat perbincangan untuk kelulusan kerajaan Persekutuan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) dan Hari Seniman Negara peringkat negeri di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Perak di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Munawati Yaacob.

Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri masih lagi mengekalkan dan mempraktikkan panduan amalan baik bagi sektor pelancongan yang dilancarkan pada 2020 dahulu dengan membuat lawatan dan semakan bersama pemain industri.

Katanya, meskipun negara sedang memasuki fasa endemik, wujud juga isu-isu kebimbangan orang ramai untuk melancong.

Artikel Berkaitan:

"Saya kira walaupun sempadan dibuka, prosedur untuk menjaga keselamatan dan keharmonian pelancong yang datang masih lagi menjadi keutamaan kerana orang akan memilih datang ke lokasi yang selamat.

"Perkara paling penting pemain-pemain industri kena mainkan peranan meneruskan apa juga praktik keselamatan yang ditetapkan dahulu," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif bagi memelihara dan memulihara kepelbagaian seni, budaya dan warisan negara.

Pihaknya turut meminta semua agensi, pertubuhan bukan kerajaan, penggiat seni, budaya dan warisan negeri ini menjadi ejen pembangunan dasar yang direalisasikan kementerian.

"Kerajaan negeri sudah tentulah memberi sokongan kepada dasar ini agar terus disemarakkan melalui program-program kebudayaan.

"Ini bagi memastikan budaya dan warisan kaum-kaum yang terdapat di negeri ini terus terpelihara dan lestari pada masa akan datang," katanya.