X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Kerajaan perlu sedia garis panduan penggunaan air bawah tanah

SARAL
A
A

Garis panduan termasuk pembinaan telaga tiub untuk aktiviti pengekstrakan air

SHAH ALAM - Kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air perlu menyediakan garis panduan berhubung penggunaan sumber air bawah tanah yang kini menjadi pilihan pengguna ketika ini.

Presiden Forum Air Malaysia, Saral James Maniam berkata, garis panduan itu termasuk pembinaan telaga tiub untuk aktiviti pengekstrakan air mengikut kualiti.

“Penggunaan telaga tiub atau dipanggil telaga boring amat meluas dan menjadi pilihan terutama di Kelantan bagi mendapatkan sumber air bawah tanah.

“Pengguna yang tidak mendapat bekalan air dari Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dan termasuk individu yang ingin mendapatkan bekalan air tambahan, mereka menggunakan kaedah boring,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Saral berkata, kebaikan air bawah tanah memang tidak dapat dinafikan kerana ia tidak mudah terdedah berbanding air yang wujud di permukaan.

“Sumber air bawah tanah yang kaya dengan mineral boleh terus digunakan sebagai air minuman, tetapi perlu terlebih dahulu diuji kesesuaiannya sebelum digunakan orang ramai,” katanya.

Tambahnya, air bawah tanah juga dapat menolong mengekalkan ekosistem, mengekalkan aliran sungai dan boleh dijadikan sebagai sumber air alternatif.

“Satu kajian atau penyelidikan perlu dilakukan dengan mengambil kira pandangan ahli hidrogeologi untuk membantu negara dalam meneroka penggunaan air bawah tanah sebagai sumber air alternatif untuk pelbagai kegunaan termasuk ketika musim kemarau secara selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Saral berkata, rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana negara masih mempunyai akses kepada bekalan air bersih yang berterusan di mana 2.2 bilion manusia di bahagian lain dunia hidup tanpa akses kepada air minuman yang selamat.

“Air bawah tanah ialah sumber penting yang menyediakan hampir separuh daripada semua air minuman di seluruh dunia,” jelasnya.

Selain itu katanya, 40 peratus air pula digunakan untuk pengairan pertanian manakala 1/3 air digunakan untuk perindustrian.

“Selaras dengan sambutan Air Sedunia, kita harus menghargai dan memelihara sumber air dan mula memulihara air untuk generasi masa depan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!