Penggunaan air pili bomba dibenarkan - AKSB

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Kenyataan AKSB
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Kenyataan AKSB
A
A
A

KOTA BHARU - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan penggunaan air daripada pili bomba untuk tujuan kecemasan dan atas kepentingan awam dibenarkan.

Menurut kenyataan itu, Seksyen 42(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, AKSB selaku pemegang lesen perkhidmatan air hendaklah membenarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengambil air bagi memadamkan kebakaran daripada mana-mana sesalur air utama atau paip lainnya yang dipasang dengan pili bomba.

Sementara itu, Seksyen 23(1) Akta Perkhidmatan Bomba 1998 membenarkan pihak berkuasa air dan ejennya (AKSB) untuk menggunakan mana-mana pili bomba atau aliran air kepadanya.

Persefahaman dengan JBPM telah dibentuk berkenaan hal ini khususnya dalam menghadapi saat-saat kecemasan dan atas kepentingan awam.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menafikan dakwaan beliau mencuri air daripada pili bomba sebagaimana tular sejak semalam.

Siti Zailah melalui kenyataan di Facebooknya berkata, bekalan itu merupakan saliran daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan sudah mendapat kebenaran syarikat terbabit.

Beliau memberitahu, kerja-kerja menyediakan bekalan air itu mendapat kerjasama daripada Balai Bomba Rantau Panjang bagi memenuhi keperluan rakyat dengan segera.