Pengundi muda perlu sedar tanggungjawab

No Image Caption
A
A
A

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan buat pertama kalinya pelaksanaan Undi18 iaitu pengundi berusia 18 tahun layak mengundi secara automatik.

Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari, seramai 5.8 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas setakat 31 Disember telah didaftarkan secara automatik sebagai pengundi baharu apabila Undi18 berkuat kuasa.

Dan di Johor sahaja, menyaksikan 750,000 mengundi muda layak mengundi bagi menentukan parti mana memimpin negeri itu sebelum ini.

Namun, tidak seperti diharapkan, angka turun mengundi bagi golongan itu langsung tidak menyumbang kepada peratusan keluar mengundi yang direkodkan iaitu 54.92 peratus daripada 2.59 juta pengundi.

Peratusan itu lebih rendah berbanding PRN Melaka (65.85 peratus) dan PRN Sarawak (60.67 peratus) yang tidak melibatkan pelaksanaan Undi18.

Ramai pemerhati politik melihat adakah Undi18 mampu mencipta landskap politik berjiwa muda jika di Johor menjadi penanda aras sebelum pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Walaupun ramai memberi pandangan bahawa rakyat sudah muak dengan politik dan faktor Omicron yang menular, dua alasan itu tidak seharusnya menjadi indikator bagi merungkai permasalahan.

Misalnya, jika PRU15 diadakan juga tahun ini, dengan angka jangkitan Covid-19 masih lima angka, adakah pihak berwajib seperti parti politik mahupun SPR sanggup membiarkan orang muda seramai 5.8 juta lepas tangan daripada melaksanakan tanggungjawab?

Artikel Berkaitan:

Sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah itu perlu dipastikan melaksanakan tanggungjawab keluar mengundi pada PRU15.

Di sini pemain politik sama ada di peringkat bandar mahu pun kampung perlu memainkan peranan penting bagi ‘menghasut’ anak muda turun mengundi berbanding hanya meluahkan ketidakpuasan hati di media sosial, sedangkan mereka mampu mengubah landskap politik tanah air.

Jangan pula bila PRU15, memberi alasan tidak tahu boleh mengundi atau mengundi di mana.