Tiada konsesi pembalakan baharu diluluskan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan beliau meluluskan konsesi pembalakan baharu selepas dilantik menerajui Kedah pada Mei 2020.

Menurut beliau, semua aktiviti pembalakan yang sedang dijalankan di Kedah merupakan konsesi yang diluluskan oleh pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau menjelaskan, semua syarikat yang mendapat konsesi pembalakan dikehendaki membayar antara 10 hingga 30 peratus daripada jumlah nilai premium selepas mendapat kelulusan.

"Sejak menguatkuasakan pembayaran premium pembalakan secara berjadual, Kedah menjana pendapatan RM60 juta daripada syarikat konsesi berkenaan.

“Jabatan Perhutanan negeri terpaksa menanggung kos permulaan plot sempadan, tanda pokok, pembesaran zon penampan sungai dan sebagainya, walaupun sebelum syarikat itu memulakan penebangan,” katanya.

Sebelum itu, Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Anak Bukit- Pejuang) membangkitkan nilai premium pembalakan yang dikutip kerajaan negeri pada sesi perbahasan dan membacakan jawapan bertulis daripada kerajaan negeri mengenai kutipan premium di bawah pentadbiran tiga Menteri Besar termasuk Muhammad Sanusi.

“Semasa pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir, (penggal pertama dan kedua), negeri telah mengutip RM94 juta premium pembalakan. Semasa pentadbiran Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, negeri mengutip RM164 juta, bawah pemerintahan Muhammad Sanusi, negeri mengutip premium pembalakan RM60 juta sejak Mei 2020 sehingga baru-baru ini," kata Amiruddin.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berharap penjelasan itu dapat membetulkan tanggapan salah bahawa beliau telah meluluskan permit pembalakan baharu di Kedah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu katanya, tuntutan Kedah agar pampasan RM100 juta diberikan sebagai tidak membalak di hutan simpan perlu dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan.

“Dalam Rancangan Fizikal Negara kedua, sudah disebut isu pampasan ini, kalau negeri didesak hentikan pembalakan dibayar pampasan tetapi jumlah belum dipersetujui. Sekarang dah masuk rancangan yang keempat, masih belum dilaksanakan lagi.

“Sekiranya pembalakan dihentikan sepenuhnya terhadap kelulusan sebelum ini, kita akan berdepan implikasi perundangan seperti disaman oleh pembalak. Sebelum ini, ada tuntutan dikemukakan sehingga mencecah RM1bilion.

"Ada yang batal kelulusan dan kalah di mahkamah dan tak mampu bayar menyebabkan kawasan itu dipulangkan kembali kepada syarikat konsesi,” katanya.

Menurutnya, pampasan RM100 juta setahun sebagai timbal balas memulihara hutan simpan bukanlah nilai yang terlalu besar untuk dipertimbangkan.

“Kita dibenar tebang 4,200 hektar setahun namun lesen penebangan yang dikeluarkan tidak sampai kuota itu, dalam lingkungan dibenarkan selain bukan kawasan tadahan. Ada beberapa syarikat lagi belum diberikan kawasan ganti selepas kelulusan diberikan sebelum ini berada dalam kawasan tadahan.

“Sekiranya kerajaan Persekutuan setuju bayar RM100 juta sebagai pampasan hentikan balak, pokok kemuncup pun kita tak tebang,” katanya berseloroh.