Kedudukan PM Pakistan tergugat

Imran Khan
Imran Khan
A
A
A

KEDUDUKAN Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan semakin terancam selepas Parlimen dijangka bersidang pada Jumaat untuk mengadakan undi tidak percaya ke atas beliau yang dikhuatiri akan mencetuskan krisis politik di negara tersebut.

Proses itu akan dilakukan setelah pakatan parti pembangkang mengemukakan usul terhadap beliau pada awal bulan lalu selepas mendakwa Imran yang memegang jawatan itu sejak Ogos 2018 telah kehilangan majoriti susulan lebih 12 anggota parti pimpinannya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) ‘berpaling tadah’.

Pihak pembangkang mendakwa Imran melakukan salah urus ekonomi dan dasar asing di bawah kepimpinannya, selain terlibat perselisihan dengan tentera, namun dinafikan beliau.

Di bawah perlembagaan negara itu, Speaker Dewan Rakyat perlu mengadakan sidang tersebut dalam tempoh 14 hari selepas usul itu diterima dan sepatutnya menepati tarikh akhir yang jatuh pada Isnin.

Bagaimanapun, ia terpaksa ditunda berikutan persidangan negara Islam di ibu kota yang dijadualkan pada Rabu.

Ketika perhimpunan pada Ahad, Imran, 69, turut merayu kepada bekas anggota partinya supaya kembali bersama PTI.

“Saya akan maafkan anda. Semua orang membuat silap. Ia seperti seorang bapa yang memaafkan anaknya,” ujarnya ketika berucap di bandar Malakand di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Sementara itu, beberapa anggota PTI mendakwa pihak pembangkang sengaja memberi suapan dan menawarkan bantuan politik kepada ‘pembelot’ parti tersebut serta sekutu lain dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Imran. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Info

>Tanpa rakan gabungan dan anggota yang telah keluar parti, PTI yang mempunyai 155 kerusi di Parlimen akan kehilangan majoriti 172 kerusi yang diperlukan untuk mengekalkan kuasa.

>Pakatan pembangkang pula mempunyai 163 kerusi, namun ia boleh membina majoriti jika anggota PTI yang telah keluar parti menyertai proses undi tidak percaya ke atas Imran.

>Sehingga kini, tiada Perdana Menteri Pakistan yang berjaya menamatkan penggal perkhidmatan mereka.