Polis berkhidmat zaman darurat terima PJPN

Zaini (lima dari kiri) dan Mohamad (lima dari kanan) beramah mesra dengan penerima PJPN.
Zaini (lima dari kiri) dan Mohamad (lima dari kanan) beramah mesra dengan penerima PJPN.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 45,402 polis, bekas dan pesara polis yang berkhidmat pada zaman darurat di seluruh negara menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) sebagai penghargaan atas pengorbanan dan bakti kepada negara.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, daripada jumlah itu, seramai 12,961 masih berkhidmat dan 13,530 sudah bersara.

"Empat negeri iaitu kontinjen Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur telah selesai mengadakan majlis pemberian pingat manakala Kelantan dan Johor Bahru pada 30 Mac ini.

"Sarawak sedang mendapatkan tarikh sesuai," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Penganugerahan PJPN Kontinjen Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Hadir sama Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Sharudin menunjukkan sijil penghargaan kepada isteri dan cucunya selepas Majlis Istiadat Penganugerahan PJPN Kontinjen Negeri Sembilan pada Isnin.
Sharudin menunjukkan sijil penghargaan kepada isteri dan cucunya selepas Majlis Istiadat Penganugerahan PJPN Kontinjen Negeri Sembilan pada Isnin.

Menurut Zaini, baki seramai 3,460 yang masih berkhidmat dan 15,451 pesara belum menerima anugerah kerana kekangan penularan Covid-19.

Tambah beliau, di Negeri Sembilan, seramai 193 penerima iaitu 99 daripadanya masih berkhidmat membabitkan pelbagai pangkat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penerima pingat membabitkan seorang berpangkat asisten superintendan, sub inspektor (6), sarjan mejar (15) sarjan (56) dan koperal (21).

Dalam pada itu seorang penerima, pesara polis Sharudin Yusof, 73, berkata, selepas lebih 30 tahun menunggu, beliau akhirnya menerima pingat terbabit dan menganggapnya sebagai hadiah istimewa sepanjang berkhidmat.

"Selepas sekian lama menunggu sejak bersara pada 1996, akhirnya hari ini saya dianugerahkan pingat ini. Saya sangat bersyukur kerana kerajaan menghargai kami.

"Tugas terakhir saya di Unit Cawangan Khas dengan pangkat Koperal Detektif. Ketika itu saya terbabit secara langsung sebagai perisik dengan menyalurkan maklumat mengenai komunis kepada pihak berkuasa," katanya.