Kedudukan kewangan kerajaan Teregganu stabil

Kedudukan kewangan kerajaan Terengganu bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 secara keseluruhannya adalah stabil. - Gambar hiasan
Kedudukan kewangan kerajaan Terengganu bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 secara keseluruhannya adalah stabil. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendapati kedudukan kewangan kerajaan Terengganu bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 secara keseluruhannya adalah stabil.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan kerajaan negeri pada akhir tahun 2020 adalah berjumlah RM466.20 juta, iaitu menurun sebanyak RM131.36 juta berbanding RM597.56 juta pada akhir 2019.

"Akaun Hasil Disatukan menunjukkan defisit semasa berjumlah RM54 juta. Kutipan hasil menurun sebanyak RM927.49 juta atau 36.2 peratus menjadi RM1.633 bilion berbanding RM2.561 bilion pada 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbelanjaan mengurus (sebelum pindahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan) kerajaan negeri Terengganu pada 2020 pula berjumlah RM1.187 bilion, menurun sebanyak RM394.84 juta atau 25 peratus berbanding RM1.582 bilion pada 2019.

Baki Akaun Hasil Disatukan kerajaan negeri bagi tahun kewangan 2020 pula mencatat lebihan sejumlah RM203.36 juta berbanding RM257.36 juta pada 2019.

Nik Azman berkata, prestasi perbelanjaan dan pelaksanaan projek pembangunan kerajaan negeri pada 2020 adalah baik, iaitu sejumlah RM605.80 juta atau 86.6 peratus telah dibelanjakan berbanding RM699.29 juta peruntukan yang diluluskan.

"Sebanyak 4,426 projek telah dirancang, dengan 4,294 projek (97 peratus) telah disiapkan sepenuhnya, 52 projek (1.2 peratus) sedang dilaksanakan dan 80 projek (1.8 peratus) belum dimulakan,” katanya.

Sementara itu, baki Pinjaman Boleh Dituntut Kerajaan Terengganu telah menurun sebanyak RM11.67 juta atau 6.2 peratus daripada RM189.20 juta pada 2019 kepada RM177.53 juta pada 2020.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tunggakan Bayaran Balik Pinjaman Boleh Dituntut kerajaan negeri juga menurun sebanyak RM5 juta atau lapan peratus daripada RM62.35 juta pada 2019 kepada RM57.35 juta pada 2020.

"Jumlah Hutang Awam menurun sebanyak RM30.01 juta atau 9.7 peratus menjadi RM279.97 juta berbanding RM309.98 juta pada 2019. Tunggakan bayaran balik Hutang Awam oleh kerajaan negeri meningkat sebanyak RM3.39 juta atau 10.1 peratus menjadi RM37.08 juta berbanding RM33.69 juta pada 2019,” katanya.

Menurut Nik Azman, setakat 31 Ogos 2021, tujuh badan berkanun negeri, tujuh pihak berkuasa tempatan serta Majlis Agama Islam di negeri ini telah mengemukakan penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 untuk diaudit, namun satu agensi negeri iaitu Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu belum mengemukakan penyata kewangan tahun 2020 untuk diaudit. - Bernama