Dua pegawai TLDM cedera, kenderaan langgar lembu

Tangkap layar dari rakaman video tular berhubung kemalangan di Kilometer 249.7 Lebuh Raya Utara- Selatan arah utara, pada Isnin.
Tangkap layar dari rakaman video tular berhubung kemalangan di Kilometer 249.7 Lebuh Raya Utara- Selatan arah utara, pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka melanggar seekor lembu yang secara tiba-tiba berada di lorong kanan dalam kejadian di Kilometer 249.7 Lebuh Raya Utara- Selatan arah Utara di sini, awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian pada jam 3.15 pagi itu berlaku ketika kedua-duanya menaiki kenderaan jenis Ford Ranger dalam perjalanan dari Kulai, Johor ke Kem TLDM di Lumut, Perak.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan dipercayai berlaku semasa mereka (kenderaan) di lorong kanan telah terlanggar seekor lembu di laluan sama menyebabkan kenderaan berpusing dan berhenti di lorong kiri.

"Pemandu kenderaan seorang lelaki iaitu pegawai TLDM berpangkat Leftenan Komander berusia 39 tahun dan penumpangnya berpangkat Komander TLDM, 42, dilaporkan cedera ringan akibat kemalangan itu," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Nanda berkata, ketika kejadian bentuk permukaan jalan adalah lurus, cuaca dalam keadaan baik namun jalan gelap kerana tiada lampu jalan.

Pada Isnin, satu video kemalangan berdurasi 26 saat tular di Facebook dengan memaparkan rakaman pemandu mengucapkan 'Ya Allah' dan terlanggar seekor lembu kerana tidak sempat mengelak.

Artikel Berkaitan: