Institusi Raja bukan sekadar hiasan untuk menyempurnakan upacara

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan titah sebelum pelancaran sebuah buku ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir’ hari ini. -Foto Bernama
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan titah sebelum pelancaran sebuah buku ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir’ hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Institusi Raja bukan sebuah entiti berbentuk ornamen hiasan untuk menyempurnakan peranan bersifat upacara atau ceremonial, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut baginda, Institusi Raja ialah entiti yang termaktub di dalam perlembagaan untuk memenuhi amanah dan menyempurnakan peranan mekanisme semak dan imbang, mengimbangkan pelbagai perkara yang diangkat sembah untuk pertimbangan takhta.

"Sejak zaman berzaman dan secara tradisi, takhta menjadi tempat rujukan dan tempat rakyat jelata memohon perlindungan dan mendapatkan keadilan.

"Takhta secara bijaksana, secara adil, secara saksama perlu memberikan ruang untuk mendengar suara dan menimbangkan rintihan semua pihak," titah baginda selepas berkenan melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia tulisan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dan penganalisis politik, G.Manimaran di Hotel Majestic di sini pada Isnin.

Sultan Nazrin bertitah, takhta juga mengamati secara teliti dinamik politik yang berlaku agar dapat melakarkan ruang peranan yang relevan dalam era semasa termasuk adil dan saksama oleh rakyat jelata. Malah ianya penting untuk menangani tuntutan dan keperluan warga, terutama dalam memenuhi peranan sebagai mekanisme semak dan imbang serta instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

"Oleh yang demikian, bersama Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja wajib memenuhi tanggungjawab yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan untuk memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapat kepercayaan awam," titah baginda.

Menurut baginda lagi, pilihan raya diadakan bukan sahaja untuk memilih ahli-ahli parlimen untuk membentuk kerajaan di peringkat persekutuan, malah turut diadakan untuk memilih ahli-ahli Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri.

"Meskipun SPR ialah badan yang ditubuhkan di peringkat persekutuan, namun urusan pilihan raya di peringkat negeri turut dikendalikan oleh Suruhanjaya yang sama. Oleh itu amatlah relevan untuk Majlis Raja-Raja dirunding oleh Yang di-Pertuan Agong dalam urusan melantik pengerusi dan ahli-ahli SPR," titah baginda.

Artikel Berkaitan: