Kes gejala sosial di Selangor menurun

Mohd Khairuddin Othman
Mohd Khairuddin Othman
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa inisiatif dilaksanakan kerajaan Selangor berjaya membantu menurunkan kes gejala sosial sebanyak 14 peratus dari 17,244 kes pada 2020 kepada 14,725 kes pada tahun lalu.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, sebanyak 2,519 kes berjaya diturunkan di seluruh Selangor bagi tahun 2021.

Menurutnya, pengurangan kes gejala sosial itu antaranya didorong perkhidmatan kaunseling secara percuma melalui Pusat Kaunseling Selangor (PKS) atau sebelum ini dikenali sebagai Talian Sahabat.

“PKS ini diuruskan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, dengan kerjasama kaunselor sukarela berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Isnin.

Beliau berkata, masalah gejala sosial akibat pengangguran pula dikurangkan melalui penganjuran program Karnival Kerjaya yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

"Kita menyasarkan sebanyak 25,000 peluang pekerjaan sekali gus dapat mengatasi kadar pengangguran di Selangor yang menjadi salah satu punca berlaku masalah sosial," katanya.

Menurut Mohd Khairuddin, kerajaan Selangor juga menyalurkan dana berjumlah RM305,000 pada 2020 dan 2022 kepada pusat perlindungan dan pemulihan bagi pelaksanaan program pemantapan sahsiah diri serta minda selain menampung keperluan harian.

Tambahnya, program Pencegahan Keparahan Sosial melibatkan remaja anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut diadakan sebagai langkah pencegahan awal membendung peningkatan gejala sosial membabitkan wanita muda.

Artikel Berkaitan: