1,546 laporan palsu kehilangan kad pengenalan bagi tempoh 2019-2021

Kehilangan kad pengenalan akibat kecuaian dikenakan denda RM100 bagi kali pertama, kedua RM300 dan ketiga RM1,000.
Kehilangan kad pengenalan akibat kecuaian dikenakan denda RM100 bagi kali pertama, kedua RM300 dan ketiga RM1,000.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,546 laporan palsu berkaitan kehilangan kad pengenalan direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2019 hingga 2021, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata, 806 laporan dibuat pada tahun lalu manakala 368 laporan pada 2020 dan selebihnya pada 2019.

"Kita mengenakan fi denda bagi kad pengenalan hilang yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990. Antara empat tujuannya adalah untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kad pengenalan.

"Mengawal penyalahgunaan pengurangan fi yang hilang, mengekang peningkatan kadar kehilangan kad pengenalan dan memastikan pelaksanaan urus niaga gantian hilang lebih berkesan," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk T Mohan yang meminta penjelasan data sebenar individu warganegara yang hilang MyKad dan membuat laporan palsu bagi mengelakkan penalti tinggi.

Ismail berkata, pihaknya memandang serius tindakan sesetengah individu yang membuat laporan polis palsu bagi mendapatkan pengecualian bayaran kehilangan akibat kecuaian sendiri.

"Tindakan individu ini merupakan suatu kesalahan boleh didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan. Sekiranya didapati bersalah, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, Mohan juga ingin tahu sama ada kementerian itu merancang untuk mengurangkan denda berkenaan pada kadar nominal bagi memudahkan pemohon dan mengelakkan laporan palsu.

Artikel Berkaitan:

Ismail berkata, kementerian belum bercadang untuk mengurangkan kadar denda bagi gantian kad pengenalan yang hilang.

"Sepertimana termaktub di bawah Sub Peraturan 19 (2) Pendaftaran Negara 1990, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara boleh menetapkan secara terperinci kadar pengecualian dan pengurangan bayaran fi bagi permohonan gantian hilang kad pengenalan iaitu hanya bagi kategori jenayah dan juga bencana.

"Bagi fi denda akibat kecuaian dikategorikan kepada tiga iaitu untuk kecuaian pertama dikenakan denda RM100, kedua RM300 dan ketiga RM1,000.

"Bagaimanapun kerajaan amat prihatin kepada orang kurang upaya (OKU)... kerajaan memberikan keistimewaan kepada mereka untuk dipertimbangkan mendapat pengurangan bayaran denda," katanya. - Bernama