Sidang DUN: 17,992 kes kekerasan, harta benda di Selangor

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin diberitahu, jumlah keseluruhan jenayah kekerasan dan harta benda di negeri itu adalah sebanyak 17,992 sepanjang tempoh dua tahun pandemik Covid-19.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, mengikut statistik polis Selangor, sebanyak 4,633 kes jenayah kekerasan dilaporkan bagi tahun 2020 dan 2021.

"Bagi kes jenayah harta benda sebanyak 13,359 kes dilaporkan dalam tempoh tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes kekerasan dan jenayah harta benda adalah sebanyak 17,992," katanya ketika menjawab soalan lisan Mazwan Johar (Amanah-Sungai Ramal) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, pada Isnin.

Mohd Khairuddin berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor pula, sebanyak 1,910 kes penderaan iaitu fizikal (686), seksual (606), emosi (63) dan pengabaian (555) dilaporkan.

"Jumlah kes penderaan dan pengabaian ini direkodkan bermula pada Mac 2020 sehingga Mac 2021," katanya.

Beliau berkata, terdapat peningkatan kepada permintaan sesi kaunseling sepanjang tempoh pandemik Covid-19 terutama sesi dalam talian berpunca daripada keretakan hubungan kekeluargaan dan psikopatologi.

"Data e-sharing menunjukkan peningkatan jumlah klien yang diperoleh melalui sistem e-pay Selangor iaitu pada 2019 (86 klien), 2020 (251 klien) dan 2022 (214 klien)," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri Selangor telah mengambil pelbagai langkah dan tindakan untuk menangani masalah gejala sosial secara menyeluruh di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Polis Selangor melaksanakan penguatkuasaan dengan membuat beberapa operasi rondaan seperti Op Benteng iaitu penugasan rondaan bersama Angkatan Tentera Malaysia (joint patrol) dan mewujudkan Polis Bantuan Kontinjen Selangor.