'Keghairahan' Tunku Ismail disebabkan faktor bola sepak moden

Tunku Ismail - Foto: Bernama
Tunku Ismail - Foto: Bernama
A
A
A

KEGHAIRAHAN pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam menaja kos penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini berkorelasi dengan hasrat baginda melihat perubahan mutu permainan skuad kebangsaan.

Tunku Ismail bertitah, perubahan drastik bagi menggantikan rumput jenis cowgrass di gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya itu perlu, memandangkan kualiti permukaan padang akan mempengaruhi usaha mempertingkatkan gaya permainan supaya seiring perkembangan bola sepak moden ketika ini.

Tunku Mahkota Johor itu bertitah, baginda sudah bersuara mengenai rumput padang untuk latihan pasukan bola sepak negara sejak lima tahun lepas, dan kini berharap pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia turut mengambil inisiatif untuk ‘menukar’ rumput padang mereka.

"Kalau boleh saya nak semua pasukan evolve kerana benda (padang) itu akan memainkan peranan dari segi permainan bola sepak kita jadi lebih efektif dalam era bola sepak moden dari aspek strategi dan taktikal. Kerana itu kita mulakan di sini (Stadium Nasional) dulu,” titah baginda sebagai mengulas langkah baginda menaja kos penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, pada Sabtu.

Tunku Ismail bertitah demikian pada sidang media selepas berangkat meninjau permukaan padang Stadium Nasional yang menyaksikan baginda turut berkenan menyampaikan replika cek dengan nilainya tertulis ‘kos penukaran permukaan padang’, sebagai simbolik kepada sumbangan yang akan diberikan.

Tunku Ismail bertitah bahawa baginda ingin melihat bukan sahaja JDT dan skuad kebangsaan dapat bermain mengikut gaya bola sepak moden, malah kesemua pasukan dalam negara turut dapat mempraktikkan corak permainan sedemikian.

Ini kerana menurut baginda, ada pemain negara yang pada pemerhatiannya dilihat amat kekok apabila beraksi di luar negara kerana sudah terbiasa dengan permukaan padang jenis ‘cowgrass’ yang digunakan kebanyakan pasukan dalam negara.

"Kalau kita boleh seragamkan semua padang sama, setiap pasukan boleh main bola sepak moden, dan apabila kita panggil pemain untuk mewakili negara, pemain-pemain ini tidak kekok untuk ikut rutin latihan dan macam mana jurulatih perlukan mereka beraksi,” titahnya.

Artikel Berkaitan:

Tunku Ismail bertitah bahawa baginda mungkin akan menambah jumlah tajaan yang dikeluarkan untuk membantu bagi mendapatkan mesin diperlukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan padang, antaranya mesin ‘vertidrain’.

Kerja-kerja penanaman rumput baharu di Stadium Nasional dengan kos menelan belanja antara RM1.2 hingga RM1.4 juta yang ditaja Tunku Ismail itu hanya akan bermula pada Januari 2023.

Kelewatan kerja-kerja yang dijangka mengambil masa kira-kira empat bulan itu disebabkan komitmen yang telah dipersetujui pihak stadium untuk menganjurkan beberapa acara di venue berkenaan sepanjang tahun ini. - Bernama