DUN Sabah: Mohd Shafie cadang tempoh bersidang dilanjutkan

Mohd Shafie
Mohd Shafie
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan supaya tempoh persidangan DUN Sabah dilanjutkan.

Presiden Parti Warisan (Warisan) Sabah itu menegaskan bahawa banyak isu yang perlu dibangkitkan dan dibahaskan oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan itu nanti.

"Negeri Sabah hari ini sudah mempunyai 73 DUN manakala Parlimen ada 222, (tetapi) Parlimen boleh bersidang tiga bulan. Di Sabah banyak perkara (dibangkitkan) bukan hanya isu pengangguran, banjir, kemudahan asas dan jalan raya dari Kota Kinabalu ke Tawau yang banyak rosak.

"Jadi kita mahu ADUN ada ruang berucap, kita tidak mahu berucap lima minit saja, kita tidak mahu bersidang cuma empat hari saja. Kalau Parlimen boleh bersidang dalam jangka masa tiga bulan, kenapa (DUN) tidak boleh satu bulan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan, di Ibu Pejabat Warisan, Kolombong, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keperluan tempoh masa sidang DUN yang bermula Isnin depan supaya dilanjutkan.

Menurut ADUN Senallang itu lagi, peraturan mesyuarat harus disemak semula dan seterusnya ditambah baik supaya tempoh hari bersidang bagi DUN Sabah dilanjutkan.

"Kita perlu semak semula undang-undang dan perlu ditambah baik. Bagilah ruang, sekurang-kurangnya satu bulan atau tiga minggu.

"Jangan bagi lima minit untuk berucap, bagilah dalam setengah jam atau 10 hingga 20 minit. Parlimen pun bagi 20 minit, ketua pembangkang satu jam. Ini (saya) ketua pembangkang pun 20 minit saja.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, saya fikir ini cara kita nak bagi ruang untuk pengurusan pentadbiran kerana DUN itu merupakan badan menggubal undang-undang dan ia penting," katanya.

Sebelum itu, persidangan DUN Sabah berlangsung selama empat hari bermula Isnin depan selepas pembukaan rasmi disempurnakan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada Rabu lalu.