Kerani rugi RM18,000 ditipu aplikasi ‘Bank Negara’

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita mengalami kerugian RM18,000 selepas wang di dalam akaun banknya lesap dipindahkan pihak tidak dikenali gara-gara mendedahkan maklumat perbankan internetnya melalui ‘aplikasi bank negara’.

Wanita berusia 41 tahun dan bekerja sebagai kerana di sebuah syarikat pengubahsuaian rumah itu mendakwa dia terpaksa berbuat demikian atas arahan pegawai bank negara bagi tujuan siasatan selepas dikaitkan dengan kes tunggakan cukai syarikat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku selepas mangsa menerima panggilan daripada pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Jumaat memaklumkan tentang tunggakan cukai syarikat berjumlah RM38,000.

Menurutnya, syarikat itu dikatakan didaftarkan atas nama mangsa dan dia perlu menjelaskannya bagi mengelak tindakan undang-undang terhadapnya diambil.

“Bagi meyakinkan mangsa, panggilan telah disambungkan kepada seorang pegawai polis dari Balai Polis Kota Bharu sebelum dia dimaklumkan bahawa satu laporan polis akan dibuat berhubung kes tersebut.

“Bagi menyelesaikan kes itu, mangsa diminta berbincang dengan pegawai Bank Negara melalui panggilan yang disambungkan.

“Selepas berhubung dengan pegawai berkenaan, mangsa diminta memuat naik satu aplikasi bank negara dan mengisi segala maklumat yang diperlukan pada ruangan yang disediakan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Wazir berkata, akur dengan arahan itu, mangsa mengisi segala butiran yang diperlukan termasuk nombor kad pengenalan, nombor telefon, nama pengguna perbankan internet dan nombor kad banknya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selepas segala butiran itu dilengkapkan, mangsa diarahkan supaya tidak menggunakan perbankan internetnya dalam tempoh 24 jam sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Arahan itu telah menimbulkan kecurigaan mangsa lalu dia menamatkan panggilan dan segera membuat semakan ke atas akaun banknya.

“Hasil semakan, mangsa mendapati wang di dalam akaun banknya berjumlah RM18,000 telah dipindahkan melalui tiga transaksi pemindahan ke sebuah akaun bank atas nama seorang lelaki yang tidak dikenali,” katanya.

Beliau berkata, syak telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab pada Jumaat untuk tindakan lanjut.

Mohd Wazir berkata, semakan ke atas nombor telefon dan nombor akaun bank yang digunakan mendapati ia disenaraikan sebagai nombor telefon dan akaun bank bermasalah.

“Kita telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.