Ibu bapa berjimat beli keperluan sekolah

Rose Diawati memilih pakaian sekolah agama untuk anaknya di sebuah kedai pakaian di bandar ini.
Rose Diawati memilih pakaian sekolah agama untuk anaknya di sebuah kedai pakaian di bandar ini.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan bahawa sesi persekolahan bagi tahun 2022 akan dibuka di seluruh negara mulai Isnin, 21 Mac ini dan seperti biasa ibu bapa merupakan golongan yang sibuk bagi menyiapkan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Saban tahun kita dilaporkan tentang kenaikan harga barangan kelengkapan sekolah seperti seragam, alat tulis dan buku latihan.

Tidak terkecuali tahun ini apabila ada dalam kalangan ibu bapa mengeluh kerana terpaksa berbelanja lebih. Difahamkan kenaikan ini mencecah sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu.

Pandemik Covid-19 yang melanda negara sebelum ini memberikan kesan besar kepada rakyat terutama soal pekerjaan, pendapatan dan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Justeru, tidak hairanlah jika ada dalam kalangan ibu bapa ini membuat persiapan ala kadar buat anak-anak atas faktor tersebut.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar daerah ini mendapati kebanyakan ibu bapa mengeluh kos pakaian dan peralatan persekolahan dipercayai berlaku kenaikan antara 10 hingga 20 peratus berbanding tiga bulan lalu.

Norhanida
Norhanida

Suri rumah, Norhanida Mohammad, 43, berkata, harga pakaian sekolah bagi anaknya lebih mahal jika dibandingkan harga pada awal Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Norhanida, dia mendapati peningkatan harga keperluan persekolahan antara 10 hingga 20 peratus itu selepas membuat perbandingan resit pembelian sebelum ini.

“Kenaikan itu memang membebankan kerana saya terpaksa tambah perbelanjaan sedia ada antara RM5 hingga RM30 bagi setiap anak yang bersekolah dengan kadar kenaikan sehingga 20 peratus.

“Jadi, saya memilih alternatif untuk tidak membazir wang dan hanya membeli barangan perlu sahaja serta pembelian juga dilakukan secara berperingkat-peringkat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ibu kepada sembilan anak itu memberitahu, sebelum ini perbelanjaan untuk membeli pakaian persekolahan sekitar RM150 untuk seorang anaknya, namun jumlah itu semakin meningkat pada kali ini.

“Kini, sehelai baju sahaja sudah berharga RM25 hingga RM30 (ikut kualiti kain) itu belum lagi jika ditambah dengan harga seluar yang berasingan.

“Untuk seorang anak, saya menyasarkan perbelanjaan lebih daripada RM200 bagi kesemua barangan termasuklah beg, perkakasan dan pakaian sekolah,” katanya.

Salina
Salina

Pengawal keselamatan, Salina Mamat, 57, turut mengakui terkesan dengan harga barangan kelengkapan sekolah yang ketara meningkat berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun kata Salina, dia terpaksa akur dengan keadaan ekonomi sekarang dan berbelanja hanya mengikut kemampuan.

“Harga memang lagi mahal berbanding tahun lalu dan itu saya terpaksa akur dengan keadaan ekonomi sekarang ini.

“Tapi kalau mampu membeli sepasang baju, beli saja dulu, kita kena ikut kemampuan supaya tidak terasa membebankan,” ujarnya dan berharap bantuan dapat diberikan kepada keluarga yang bilangan anak ramai daripada kategori B40.

Muhammad
Muhammad

Hal ini berbeza pula dengan penjawat awam, Muhammad Abd Rahman, 43, yang merasakan harga barangan sekolah tidak berubah berbanding sebelum ini.

Katanya, hasil pembelian di beberapa kedai mendapati harga masih sama seperti sebelum ini.

“Sebenarnya ibu bapa kini mempunyai pelbagai pilihan kedai untuk membeli baju, peralatan dan kasut sekolah mengikut bajet dan kemampuan mereka sendiri,” katanya.

Rose Diawati Abdul Rahman, 39, pula berkata, pembelian pakaian secara talian lebih murah berbanding di kedai pakaian dan pusat beli-belah.

“Harga berbeza, untuk sehelai baju sekolah saya beli sekitar RM18 hingga RM25 berbanding harga di kedai antara RM26 hingga RM30 dan kualiti kain juga berbeza.

“Jadi, hari ini saya datang membeli pakaian seragam bagi kelas agama,” ujarnya.