Benarkan pengusaha bas tambah perkhidmatan

Dr Gunaraj
Dr Gunaraj
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan diminta memberi kebenaran kepada pengusaha bas sekolah untuk meluaskan cabang perkhidmatan mereka bagi menambah pendapatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George mencadangkan pengusaha bas sekolah dibenarkan menggunakan kenderaan mereka untuk melakukan kerja-kerja pengangkutan lain seperti menghantar penumpang awam atau barang.

Menurut beliau kebenaran itu bertujuan memastikan kelangsungan operasi perkhidmatan bas dan meringankan beban kewangan dihadapi pengusaha.

"Bagai jatuh ditimpa tangga, itulah nasib industri bas sekolah yang tidak dapat beroperasi sepenuhnya sejak 2019 akibat pandemik Covid-19 malah turut terjejas akibat banjir hujung tahun lalu.

"Buat masa ini mereka sudah melakukan semua persiapan dengan kos operasi yang sangat tinggi namun permintaan daripada ibu bapa pula tidak begitu menggalakkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, perkara itu perlu diberi perhatian khusus oleh kerajaan Persekutuan kerana perkara tersebut melibatkan peraturan di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

"Dalam keadaan kini, pengusaha bas sekolah masih bergelut kerana hanya kurang 30 peratus ibu bapa menggunakan perkhidmatan bas sekolah ketika pasca Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, dengan memberi peluang kepada pengusaha bas untuk melakukan kerja-kerja tambahan dapat menampung kos penyelenggaraan yang tinggi sekali gus memastikan bayaran ansuran bulanan dapat dilunaskan," katanya.