Lapangan terbang baharu, bukti swasta yakini kerajaan: Guan Eng

Lim Guan Eng - FOTO ZAHID IZZANI
Lim Guan Eng - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hasrat pihak swasta untuk melabur bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang membuktikan peningkatan keyakinan sektor swasta terhadap kerajaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyeru agar cadangan pembinaan dua lapangan terbang ini dinilai dari sudut positif kerana ia dijangka akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, pelaburan itu menerusi kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas adalah perkara yang baik.

"Sekiranya ada pihak swasta sedia melabur untuk membina kedua-dua lapangan antarabangsa ini, saya rasa ini tidak ada masalah kerana ia boleh memangkin pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan," katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu juga merungkai kekeliruan berhubung pembiayaan pembinaan lapangan terbang antarabangsa tersebut di mana ia bukanlah geran daripada kerajaan seperti yang didakwa.

Katanya, menerusi kaedah PFI dan usaha itu masih berjalan dengan kerjasama pihak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Kedua-duanya adalah PFI, sekiranya kerajaan nak berikan geran sudah tentu kita bersikap adil dan kedua-dua iaitu Lapangan Terbang Antarabagsa Kulim dan Pulau Pinnag akan dapat geran.

“Tapi seperti yang kita umumkan sebelum ini, ia tidak mampu diuruskan kerajaan kerana kekangan kewangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng juga menambah, sekiranya kerajaan memiliki baki kewangan, beliau selaku Menteri Kewangan lebih berminat untuk program-program membantu pihak yang memerlukan bantuan, sama ada dalam aspek menambah pendapatan atau peluang pekerjaan.

ARTIKEL BERKAITAN:

KXP: Minta Kerajaan Pusat lakukan kajian

KXP bakal tarik ramai pelabur ke Kedah

Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dibiayai pihak swasta

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meminta kerajaan Persekutuan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu sebelum membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

Katanya, kajian tersebut bagi mengkaji impak keseluruhan termasuk kesan jangka panjang kepada ekonomi Pulau Pinang.

Menurutnya, kajian itu adalah perlu kerana kerajaan negeri menerima pelbagai reaksi dan maklum balas terutamanya dari komuniti peniaga yang mempersoalkan kewajaran pembinaan lapangan terbang tersebut.