KXP: Minta Kerajaan Pusat lakukan kajian

Kon Yeow menunjukkan projek yang dibincangkan dalam mesyuarat NCIA bersama Dr Mahathir, Isnin lalu.
Kon Yeow menunjukkan projek yang dibincangkan dalam mesyuarat NCIA bersama Dr Mahathir, Isnin lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang meminta agar Kerajaan Pusat melaksanakan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu sebelum pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kajian itu bagi mengkaji keseluruhan impak termasuk kesan jangka panjang kepada ekonomi Pulau Pinang.

Menurutnya, kajian itu adalah perlu kerana kerajaan negeri menerima pelbagai reaksi dan maklum balas terutamanya dari komuniti peniaga yang mempersoalkan kewajaran pembinaan lapangan terbang tersebut.

"Walaupun difahamkan lapangan terbang ini dibiayai oleh sektor swasta, namun kerajaan negeri tetap dengan pendirian iaitu perlu kajian kebolehlaksanaan dilaksanakan.

"Ia perlu dilakukan Kerajaan Pusat bagi mengkaji kesemua impak terhadap Pulau Pinang terutama dari segi ekonomi jika lapangan terbang itu dibina di Kedah," katanya kepada media tadi.

Kon Yeow turut menggesa Kerajaan Kedah agar menjelaskan kategori lapangan terbang yang akan dibina kelak sama ada ia kargo atau penumpang.

"Saya difahamkan lapangan terbang tersebut adalah kategori kargo namun apa yang dinyatakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam, ia adalah lapangan terbang antarabangsa.

"Mungkin Kerajaan Kedah atau Pusat perlu jelaskan kategori itu. Selain itu, dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang dipengerusikan Perdana Menteri Isnin lalu menyatakan, hanya infrastruktur luar dibiayai Pusat manakala terminal dan kawasan kediaman dibiayai swasta.

Artikel Berkaitan:

"Namun semalam, Azmin menyatakan Pusat memperuntukkan RM1.6 bilion untuk terminal lapangan terbang terbabit.

"Beliau perlu jelaskan isu ini kerana dalam Mesyuarat NCIA lalu, Azmin tidak hadir," katanya.

Semalam, Mohamed Azmin mengumumkan bahawa Kerajaan Pusat meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Mohamed Azmin, berkata semua projek itu diluluskan Dr Mahathir ketika mempengerusikan Mesyuarat NCIA, Isnin lalu.