Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dibiayai pihak swasta

Mohamed Azmin – Foto Sinar Harian Zahid Izzani
A
A

KUALA LUMPUR - Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang bernilai RM1.6 bilion akan dibiayai dan dibangunkan 100 peratus oleh pihak swasta, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menjelaskan, KXP perlu dibangunkan untuk menampung permintaan industri khususnya di selatan Kedah dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“100 peratus dibangunkan oleh pihak swasta. Ya, ni bukan kerajaan, siapa kata kerajaan?

“RM1.6 bilion itu peruntukan untuk pembangunan lapangan terbang, tapi inisiatifnya ialah inisiatif swasta, sebab dalam keadaan ekonomi sekarang kita perlu pembabitan aktif pihak swasta, kerajaan tidak mempunyai wang untuk membangunkan, tetapi pembangunan itu perlu, maka penyertaan swasta amat diperlukan bangunkan pembangunan penting ini,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menjelaskan, selain menampung kepadatan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN), KXP juga dijangka akan membawa masuk ramai pelabur luar untuk melabur di Koridor Utara

“Kita kena lihat jangka panjang keperluan pembangunan di Koridor Utara,kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) semakin meningkat dan tidak lagi dapat menampung. Malah untuk membesarkan lapangan terbang itu juga agak terhad kerana tidak ada lagi kawasan yang sesuai untuk.

“Jadi untuk menampung permintaan industri, khususnya di selatan Kedah dan Koridor Utara, maka ada keperluan untuk pembangunan KXP bagi menarik pelabur-pelabur ke Koridor Utara,” katanya.

Sementara itu, Azmin juga memberitahu pembinaan KXP tidak akan mendatangkan sebarang impak kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Tidak, saya tidak rasa akan beri impak kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ia hanya projek pembangunan seperti sedia ada di Pulau Pinang dan Alor Setar.

“Sekarang kita jangkakan dengan adanya KXP, pelabur tidak lagi hanya bertumpu di Lembah Klang, Selangor dan Johor semata-mata. Polisi kerajaan kini ialah membawa lebih ramai pelabur bukan sahaja di utara malah negeri-negeri lain juga.

“Ini sebahagian daripada kajian separuh penggal untuk mengimbangi pembangunan wilayah, antara kawasan luar bandar dan bandar,” jelasnya.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chon Kon Yeow mahu Kerajaan Pusat melakukan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu sebelum melaksanakan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

Azmin menjelaskan, dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Isnin lalu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Chon Kon Yeow mengikut proses.

“Semua proposal dirunding dan dibentang oleh sekretariat dan semua cadangan yang dikemukakan telah diluluskan. Ini ialah salah satu projek yang dipersetujui dan perlu memenuhi semua syarat yang ditetapkan,” katanya.

Selain KXP, terdapat projek berimpak tinggi lain ialah pembinaan Lebuhraya Koridor Utara Fasa 1A (Bandar Baharu-Sungai Petani) dalam fasa satu serta Fasa 1B (Bandar Baharu-Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) yang bernilai keseluruhan RM1.7 bilion dalam fasa kedua.

Selain itu, pembangunan Hab Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam dekat Kulim pula membabitkan peruntukan RM300 juta, manakala Program Kasih Ibu Darul Aman atau KIDA (RM30 juta), Perpustakaan Digital Alor Setar (RM15 juta) serta kajian pembinaan Taman Industri Petro-Kimia Gurun (RM2 juta).