Dua penyelia direman bantu siasatan kes rasuah

Dua individu dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman, pada Jumaat.
Dua individu dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman, pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua penyelia direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah agama, pada Jumaat.

Perintah reman bermula pada Jumaat sehingga 21 Mac itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Faizah Abdul Sani terhadap dua suspek lelaki tersebut yang masing-masing berusia 58 tahun dan 42 tahun selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret 3, Shah Alam, Selangor, pada Jumaat.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berkenaan ditahan di SPRM Selangor kira-kira jam 7.30 malam pada Khamis ketika hadir memberi keterangan.

"Kedua-dua suspek merupakan penyelia kanan dan penyelia daripada sebuah jabatan dipercayai masing-masing menerima wang rasuah sebanyak RM40,000.

"Ia dipercayai sebagai balasan untuk mengesyorkan dan mendapatkan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah agama bagi tahun 2020," menurut sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada Selasa, dua pegawai perkhidmatan pendidikan yang masing-masing berusia 50 tahun dan 46 tahun ditahan reman selama empat hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes sama.

Suspek lelaki berusia 50 tahun disambung reman selama tiga hari sehingga 20 Mac manakala suspek wanita yang berusia 46 tahun dilepaskan reman dengan jaminan SPRM.

Artikel Berkaitan: