KKM nilai implikasi pembukaan semula sempadan

Khairy Jamaluddin mengadakan sidang media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Khairy Jamaluddin mengadakan sidang media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menilai tempoh beberapa bulan akan datang bagi menentukan waktu sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya mahu melihat implikasi dan kesan daripada keputusan kerajaan membuka semula sempadan negara pada 1 April ini.

"Sempadan negara akan mula dibuka pada 1 April dan mahu lihat kesannya kerana kita jangka pembukaan ini akan dibuat dengan selamat dan tiada tekanan terhadap sistem kesihatan awam.

"Apa yang kita tidak tahu adalah kewujudan varian baharu yang mungkin muncul, ini perkara yang kita masih pantau kerana sekarang kita maklum bahawa Omicron ada sub unit.

"Jadi saya mahu lihat selepas 1 April apabila lebih banyak kelonggaran seperti solat tarawih (tanpa penjarakan), hari raya (Aidilfitri) sama ada kes melonjak naik atau tidak,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu Khairy menyambut baik saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar tarikh PRU15 ditentukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Perkara tersebut perlu terus dibincang sebab dari segi 'timing', pemilihan parti sebelum akhir tahun ini. PRU sepertimana disebut oleh Presiden (Ahmad Zahid) tadi diserah kepada Perdana Menteri untuk tentukan kerana kuasa Perlembagaan, pembubaran pada Yang di-Pertuan Agong perlu diambil kira.

“Perkara itu masih dinamik. Saya sudah sebut sebagai Menteri Kesihatan, wajar kita tangguh dahulu (PRU15) sehingga keadaan kesihatan awam stabil.

Artikel Berkaitan:

"Semangat presiden parti betul walaupun beliau kata dari segi akar umbi UMNO mahu PRU awal, tetapi akhirnya terserah kepada Perdana Menteri yang akan ambil kira pandangan KKM," katanya.

Sementara itu ketika ditanya adakah beliau akan bertanding untuk sebarang jawatan pada pemilihan parti akan datang, ahli Parlimen Rembau itu menegaskan, masih terlalu awal untuk menyatakan perkara tersebut.

“Saya rasa terlalu awal untuk bercakap bertanding jawatan apa, yang penting hari ini adalah kita semua lega sebab ada usaha ke arah keharmonian.

“UMNO satu perkara, walaupun tidak semua setuju dalam parti, ada pandapat dan pandangan masing-masing, kita tahu bila masa untuk tidak buka pekung di khalayak,” ujarnya.