Bubar Parlimen, jangan melangkaui kuasa Agong: Hishammuddin

Hishammuddin menyapa pengamal media selepas mendengar ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Jumaat. - Foto Bernama
Hishammuddin menyapa pengamal media selepas mendengar ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli UMNO disarankan untuk tidak melangkaui kuasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu pembubaran Parlimen.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, saranan pembubaran itu juga datang daripada nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita jangan sesekali membelakangkan hak untuk membubarkan Parlimen kerana ia adalah kuasa Yang di-Pertua Agong. Pada masa sama, apa jua keputusan Baginda, datang bersama nasihat daripada Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, ahli UMNO juga perlu menunggu pendirian parti yang akan dipanjangkan kepada Seri Paduka Baginda untuk menentukan segala-galanya.

“Justeru, proses itu berjalan lancar. Jangan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dan perlu mengetahui kedudukan parti dan kuasa Perdana Menteri untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jangan terlanjur dalam kita nak pastikan sesuatu. Kita semua kena tahu kedudukan masing-masing, kedudukan parti, kedudukan Perdana Menteri (PM) dan juga tanggungjawab serta kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa Menteri UMNO ‘tidak perform’.

Artikel Berkaitan:

“Yang hari ini orang tuduh Menteri UMNO tak perform, saya rasa itu satu perkara yang tak patut dilontarkan.

"Jika tidak 'perform', sudah pasti Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak akan mencapai keputusan yang membanggakan,” katanya.