PAU 2021: Jangan hanya desak segerakan PRU15

Ahli perwakilan UMNO yang hadir pada Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu. - Foto Bernama
Ahli perwakilan UMNO yang hadir pada Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2021 (PAU 2021) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur mencuri perhatian umum dan ahli politik di negara ini.

Pelbagai isu yang diutarakan oleh pimpinan sayap parti itu termasuk desakan kepada kerajaan untuk segera mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ekoran beberapa siri kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Isu tersebut menjadi ‘highlight’ dalam perbahasan perwakilan antaranya oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang yakin bahawa Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan membuat keputusan terbaik dalam mencadangkan masa sesuai untuk mengadakan PRU15 kepada Perdana Menteri, selaras peruntukan Perlembagaan.

“Saya ingin tegaskan bahawa Wanita UMNO sentiasa bersedia bila-bila masa (untuk PRU15) dan akan bersama jentera BN berganding bahu, seia dan sekata melangkah, berkongsi aspirasi parti menjadi pencari undi,” tegasnya ketika menyampaikan ucapan dasar.

Sementara itu Naib Ketua UMNO Perlis, Asmaiza Ahmad tidak ketinggalan menyeru ‘Top 5’ dalam parti berbincang secara elok dan mencari waktu sesuai untuk mengadakan PRU15, seiring permintaan rakyat peringkat akar umbi.

“Mereka tidak sabar-sabar lagi untuk memberikan mandat baharu kepada BN untuk menubuhkan kerajaan dengan majoriti dua per tiga, Insya-ALLAH,” katanya ketika membahas ucapan dasar Ketua Wanita.

Disebalik permintaan dan desakan daripada perwakilan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat tidak wajar untuk UMNO dilihat seolah-olah mahu mengambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam isu pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU diadakan.

Namun beliau mengakui perkara itu perlu dibincangkan di peringkat parti terlebih dahulu sebelum dibawa kepada Seri Paduka Baginda untuk penetapan tarikh pembubaran Parlimen.

Artikel Berkaitan:

“Jadi jangan kita ambil kuasa Yang di-Pertuan Agong, kita tunggu (dan) apa-apa pun kita akan bincang tapi saya sudah kata, mula-mula bincang dalam parti.

“Kita ada mesyuarat parti dan selepas itu barulah kita ada perbincangan dan sebagainya,” ujarnya.

Berlainan pula dengan Pemuda UMNO yang mengusulkan kepada pimpinan tertinggi untuk meminda perlembagaan parti supaya pemilihan hanya dibuat selepas PRU.

Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang usaha untuk memporak-perandakan, melemahkan kesepaduan dan kekuatan parti berlaku di masa akan datang.

“Usah hanyut dalam gelora pemilihan parti. Mula kembali budaya bobrok lama yang membawa rombongan ke sana sini, menyusun jentera, membuat pelbagai gerakan untuk mencatur dan menjatuhkan sesama sendiri.

“Ingatlah, jika jentera karam buat kali kedua, jawatan parti sudah tidak bernilai lagi,” tegasnya.

Justeru, katanya para perwakilan UMNO disaran berbahas isu melibatkan kepentingan rakyat atau bagaimana cara boleh membantu usaha kerajaan untuk melandaikan lagi penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

"Jangan hanya mendesak diadakan PRU15 secepat mungkin kerana yakin mampu mendapat mandat rakyat untuk mentadbir negara semula, ambil kira juga pandangan semua pihak termasuk rakyat di akar umbi kerana mereka yang nak keluar mengundi.

"Pengundi jadi ejen penentu sesebuah parti mendapat mandat tubuh kerajaan, jadi ambillah hati rakyat juga, kisahkan perihal mereka, tunjukkan anda sememangnya ambil berat terhadap masalah dan keluh kesah mereka.

Selamat bersidang!," katanya.