Presiden, MKT akan buat keputusan terbaik tentukan tarikh PRU15

Noraini
Noraini
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wanita UMNO yakin presiden parti dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan membuat keputusan yang terbaik dalam mencadangkan masa yang tepat untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ini kerana sebarang tindakan dan keputusan hendaklah dibuat secara berhemah, matang dan bijaksana.

“Wanita UMNO percaya, Yang Berhormat Datuk Seri Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan MKT akan membuat keputusan yang terbaik dalam mencadangkan masa yang tepat dan sesuai kepada Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Sekali lagi, saya ingin menegaskan di sini bahawa Wanita UMNO 'always ready' (sentiasa bersedia) pada bila-bila masa.

“Insya-ALLAH Wanita bersama jentera Barisan Nasional (BN) akan berganding bahu, seia dan sekata, sederap kita melangkah, berkongsi aspirasi parti menjadi pencari undi, penentu undi, perayu undi, pengekal undi, hatta pemecah undi di mana yang perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Wanita pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, UMNO juga perlu mengambil kira kesepakatan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah ditandatangani bersama antara blok kerajaan dengan blok pembangkang yang keabsahannya sehingga 31 Julai 2022.

“Mulai sekarang, kita kuatkan tekad semua pimpinan, jentera dan ahli parti supaya bersiap siaga pada tahap tertinggi, berada dalam ‘election mode’ (mod pilihan raya)," katanya.

Artikel Berkaitan: