CIDB arah henti serta-merta kerja pembinaan di tapak projek

Anggota penguat kuasa CIDB melakukan pemeriksaan dokumen di sebuah tapak pembinaan Cyber City, Kapayan, Penampang pada Khamis.
Anggota penguat kuasa CIDB melakukan pemeriksaan dokumen di sebuah tapak pembinaan Cyber City, Kapayan, Penampang pada Khamis.
A
A
A

PENAMPANG - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sabah mengarahkan syarikat kontraktor yang bertanggungjawab menghentikan serta-merta kerja pembinaan di sebuah tapak projek di Cyber City, Kapayan di sini pada Khamis.

Pemberhentian kerja pembinaan itu dibuat susulan empat notis dikeluarkan oleh CIDB selepas sebahagian besar pekerja dikesan gagal mengemukakan kad perakuan pekerja mahir ketika pemeriksaan dilakukan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu bersama beberapa agensi penguat kuasa lain di daerah ini.

Pengarah CIDB Sabah, Rosmen Ag Hassan berkata, hasil operasi telah memeriksa satu kontraktor dan 17 subkontraktor bagi sebuah tapak pembinaan di kawasan berkenaan.

Katanya, dalam operasi itu, CIDB telah memeriksa seramai 325 pekerja iaitu 135 melibatkan pekerja asing manakala 190 lagi pekerja tempatan.

"Hasil pemeriksaan mendapati daripada 325 pekerja hanya 46 pekerja saja yang mempunyai akreditasi (kad perakuan pekerja mahir) dan selebihnya belum dipastikan, sebab itu kita minta kontraktor berkenaan datang ke pejabat CIDB untuk mereka mengemukakan senarai pekerja tersebut adakah mereka ini layak untuk diakreditasi atau sebaliknya.

"Oleh itu, empat notis yang dikeluarkan kepada kontraktor iaitu notis meminta makluman, notis arahan hadir, notis kesalahan akreditasi dan notis pemberhentian kerja-akreditasi," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu.

Beliau berkata, susulan daripada empat notis yang dikeluarkan itu menyebabkan kerja-kerja pembinaan di tapak berkenaan dihentikan serta-merta.

"Tapak pembinaan tidak dibenarkan dibuka dan dihentikan serta-merta selepas empat notis dikeluarkan dan tempoh selama tujuh hari diberikan kepada kontraktor untuk mengemukakan dokumen yang diperlukan.

Artikel Berkaitan:

"Nasihat daripada penguat kuasa juga membuat keputusan untuk memberhentikan kerja disebabkan kesalahan di bawah Seksyen 33A(1) Akta 520 CIDB bagi kesalahan akreditasi," katanya.

Katanya lagi, selain daripada CIDB, kontraktor berkenaan turut diberi amaran lisan oleh Majlis Daerah Penampang (MDP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

"Amaran lisan diberikan berhubung pengurusan sampah ditapak pembinaan dan kelengkapan keselamatan pekerja serta amaran lisan di bawah Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975," katanya.

Sehubungan itu, Rosmen berharap pemain industri di negeri ini supaya sentiasa patuh pada peraturan dan undang-undang yang termaktub di bawah Akta 520 CIDB dan peraturan agensi lain bagi meningkatkan kualiti pembinaan.

"Ini termasuk berkaitan pendaftaran, levi, personal binaan, akreditasi dan bahan binaan melalui pematuhan standard dan pembangunan industri pembinaan supaya lebih mampan khususnya di Sabah," katanya.