JAIS kesan empat aktivis politik pegang tauliah mengajar di masjid

Mohd Zawawi - Foto Bernama
Mohd Zawawi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenal pasti terdapat empat aktivis politik yang masih memegang tauliah mengajar agama Islam di masjid di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, tiga daripada aktivis politik itu daripada parti Pas dan seorang daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurut beliau, berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 18 Februari lalu menegaskan seseorang penceramah yang berstatus ahli biasa dalam parti politik boleh ditarik balik tauliah mengajar sekiranya menimbulkan polemik yang boleh pecah belahkan perpaduan ahli kariah.

"Ketetapan ini boleh dikenakan juga terhadap mana-mana penceramah yang bukan dalam kalangan ahli politik," katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Mengulas mengenai soalan tambahan daripada Syamsul Firdaus adakah terdapat mekanisme tertentu mengenal pasti seseorang penceramah sama ada mempunyai tauliah atau pun tidak, Mohd Zawawi memberitahu, JAIS sentiasa memantau perkara itu.

"Pemantauan dibuat melalui nazir masjid dan jawatankuasa masjid kepada semua penceramah yang dijemput.

"Sekiranya ada aduan daripada jemaah boleh disalurkan ke pejabat agama dan kita akan buat tindakan segera," ujarnya.

Mengulas soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang bertanyakan mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap pegawai masjid dan kakitangan JAIS yang melindungi penceramah berikutan kebanyakan masjid dikuasai ahli politik, Mohd Zawawi menjelaskan perkara itu perlu dilaporkan dengan bukti yang jelas.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya ada maklumat dan bukti sahih boleh disalurkan kepada pihak jabatan kerana kita tidak mahu bertindak tanpa bukti kukuh atau hanya mendengar daripada media sosial.

"Harap pihak ADUN, pemimpin komuniti untuk bersama- sama menjaga keagamaan dan kerukunan di masjid dan kariah," katanya.