Padah serah nombor TAC, pemandu rugi RM73,000

Seorang kakitangan awam kerugian RM73,000 selepas diperdaya sindiket penipuan, pada Isnin lalu. - Gambar hiasan
Seorang kakitangan awam kerugian RM73,000 selepas diperdaya sindiket penipuan, pada Isnin lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Hasrat seorang kakitangan awam untuk melakukan pengubahsuaian kediamannya tidak kesampaian apabila wang pinjaman berjumlah RM73,000 diperdaya sindiket penipuan pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, lelaki berusia 49 tahun dan bekerja sebagai pemandu jabatan itu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali.

“Suspek lelaki mendakwa isterinya tersilap menghantar nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) akaun banknya kepada telefon bimbit mangsa dan meminta diberikan nombor TAC yang diperolehi mangsa melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Mangsa tanpa curiga dan tidak membuat pengesahan lanjut, terus menyerahkan nombor TAC tersebut kepada suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Tambahnya, mangsa kemudian menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pihak bank menyatakan terdapat pindahan wang berjumlah RM50,000 daripada akaun banknya.

Jelas beliau, mangsa baharu sahaja mendapat pinjaman wang terbabit berjumlah RM80,000 Jumaat lalu yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan mengubahsuai rumahnya.

"Keesokan hari mangsa membuat semakan semula wang dalam akuan bank miliknya dan mendapati terdapat pindaan wang kali kedua berjumlah RM23,000 ke akaun yang tidak dikenali.

"Mangsa yang rasa ditipu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Awyer Keroh dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dengan sebarang tawaran mencurigakan mahupun mengarahkan mangsa membuat sebarang transaksi.