Covid-19: 44 majikan sektor pembuatan di Selangor gulung tikar

Datuk Teng Chang Khim. - Foto Bernama
Datuk Teng Chang Khim. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 44 majikan sektor pembuatan menutup operasi di Selangor dalam tempoh setahun berikutan kesan penularan pandemik yang melanda negara pada tahun 2020.

Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, penutupan operasi syarikat di Selangor tidak memberikan kesan kewangan secara langsung kepada ekonomi negeri.

"Syarikat terbabit hanya membayar cukai tanah dan cukai taksiran pada kadar yang kecil kepada kerajaan negeri," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mazwan Johar dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Chang Khim berkata, daripada jumlah itu, seramai 835 pekerja tempatan dan seramai 119 pekerja asing dalam tempoh sama telah diberhentikan daripada 44 majikan terbabit.

Justeru katanya, antara tindakan penyelesaian yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi membantu rakyat Selangor yang diberhentikan kerja akibat kesan penularan pandemik untuk mendapatkan pekerjaan semula ialah dengan mengadakan program Karnival Kerjaya - Jelajah Selangor Bekerja pada tahun lalu.

"Sebanyak enam siri Karnival Kerjaya - Selangor Bekerja dilaksanakan di lokasi berbeza.

"Penganjuran program ini merupakan platform yang menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan pekerjaan, sekali gus mengatasi kadar pengangguran di Selangor selaras dengan permintaan yang tinggi dan sambutan yang menggalakkan berikutan kadar kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: