Sila log masuk terlebih dahulu.

Pengusaha harumanis sedia terima pengunjung

Pemilik ladang menawarkan serendah RM10 kepada pengunjung sempena ketibaan musim mangga harumanis Mei depan. Gambar hiasan
Pemilik ladang menawarkan serendah RM10 kepada pengunjung sempena ketibaan musim mangga harumanis Mei depan. Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Ketibaan musim mangga harumanis menjelang Mei ini pastinya dinantikan banyak pihak khususnya pengusaha ladang yang kini sibuk membuat persiapan bagi menyambut kehadiran pelancongan dan peminat buah yang begitu sinonim dengan Perlis.

Pengumuman pembukaan sempadan pintu negara pada 1 April ini dan peralihan negara ke fasa endemik membuka peluang buat peminat harumanis merasai sendiri pengalaman memetik dan menikmati sendiri aroma dan kemanisan buah itu terus dari ladang.

Pengurus ladang mangga harumanis Mentalon Agro Farm Shahril Azmi Abu Bakar, 38, berkata walaupun musim harumanis kurang dua bulan lagi namun, beliau telah menerima banyak pertanyaan dan tempahan daripada pelanggan yang tidak sabar untuk merasai buah segar.

"Seperti kita maklum sejak dua tahun kebelakangan ini orang awam terbatas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi apabila kerajaan mengumumkan kelonggaran, ramai penggemar harumanis mula membuat permintaan untuk membelinya walaupun ia baru berbuah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Shahril, ladang mangga harumanis diusahakan penduduk di Kampung Belukar, di sini yang berkeluasan sekitar 8.345 hektar merupakan antara destinasi agropelancongan dan sentiasa menjadi tumpuan pengunjung atau rombongan memandangkan pihaknya juga menawarkan pakej tertentu bagi mempromosikan buah tersebut.

Tambah beliau, dengan bayaran serendah RM10 setiap seorang, pengunjung dapat menikmati buah itu tanpa sebarang had di samping meninjau keadaan suasana ladang tersebut yang menyajikan pemandangan indah.

"Sebelum PKP, kami menerima kunjungan sekitar 45 buah bas dalam masa tiga bulan dan saya menjangkakan jumlah itu akan kembali bertambah selepas pembukaan sempadan dan kelonggaran pergerakan diumumkan kerajaan sebelum ini.

"Kebanyakan pengunjung kami datang dari negeri Semenanjung seperti Johor, Melaka, Selangor, Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Ladang Harumanis Mentalon Agro Farm Ehsan Ibrahim, 44, memberitahu, sejak pelaksanaan PKP dua tahun lepas, pihaknya juga mengambil pendekatan untuk melakukan tranformasi ke atas perusahaan mereka bagi memasarkan mangga berkenaan secara dalam talian melalui platform media sosial.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya juga agak terkejut apabila sambutan yang diterima menerusi pemasaran digital adalah sangat baik berbanding kaedah konvensional yang dipraktikan sebelum ini.

"Jika diikutkan sebelum ini, kami hanya memasarkan harumanis menerusi ekspo, pasar tani dan melakukan penghantaran secara terus kepada pelanggan,” katanya.

Seorang lagi pengusaha Harumanis di Beseri, Norzaidi Hashim, 56, optimis bahawa jumlah kehadiran pengunjung ke ladang mangga miliknya akan bertambah tahun ini.

Beliau memberitahu, beberapa perancangan sedang diatur menjelang ketibaan musim buah itu bagi menarik lebih ramai pengunjung ke ladangnya itu bagi menikmati Harumanis yang segar.

"InsyaALLAH saya memang menjangkakan pengunjung ke ladang kami akan kembali seperti biasa selepas ini malah pihak kami juga akan meneruskan promosi pemasaran secara dalam talian bagi menarik lebih ramai pelawat dari dalam dan luar Perlis,” katanya. - Bernama