Projek kuari pasir di Kedah dapat kelulusan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Projek kuari pasir yang diusahakan di Sungai Kulim, Kulim, dekat sini, mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Kedah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan surat kelulusan kuari sepanjang 300 meter (m) terbabit dikeluarkan pada 20 Januari lepas.

Beliau menafikan kuari diusahakan secara haram sebaliknya kelulusan mengeluar pasir dan menguruskan sungai terbabit di Kampung Tok Rasul, di sini, telah diberikan kepada pengusaha kuari itu.

"Saya mendapat maklumat lanjut daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bahawa ada laporan kecurian pasir di Sungai Kulim di Kampung Tok Rasul.

"Bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa kuari ini mendapat kelulusan. Dakwaan menerusi media sosial dan sebagainya bahawa ada kuari haram, curi pasir semua itu tak benar,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, kuari pasir berkenaan mendapat kelulusan berdasarkan kebenaran jabatan, yang mana syarikat yang mengusahakan aktiviti ini adalah dari Jitra, di sini.

Beliau menjelaskan, kuari ini diluluskan dan beroperasi semula selama setahun oleh MMK dengan anggaran hasil pasir 5,000 meter padu sebulan yang akan memberi pendapatan kepada kerajaan negeri sebanyak RM20,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan aduan runtuhan tebing itu adalah di luar kawasan yang diluluskan ketika itu.

"Berdasarkan pemerhatian, kesan runtuhan terbabit adalah runtuhan lama yang berlaku sebelum kelulusan dan diberi kepada pengusaha berkenaan,"katanya.

Tambah beliau, jarak dari tebing sungai ke sempadan lot 268, 271 dan 273, iaitu lebih kurang 20 m, yang mana runtuhan itu berlaku di tanah simpanan sungai iaitu tanah kerajaan bukan tanah individu.

Muhammad Sanusi berkata pengusaha kuari memberitahu sedia membaik pulih tebing dan mengubah aliran air yang menghala ke tebing supaya aliran air berubah ke tengah aliran sungai.

Katanya, pengusaha turut memaklumkan sanggup membuang beting pasir itu sekiranya kerajaan memberi kebenaran, selain Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga sedia untuk membuat penjajaran semula aliran air sungai berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk di beberapa kampung di mukim Keladi, di sini, mendakwa kegiatan sebuah kuari melakukan aktiviti mengorek pasir menyebabkan berlaku hakisan dan runtuhan tebing yang serius di Sungai Kulim sejak lebih tiga tahun lalu.