Umat Islam dilarang menipu elak bayar cukai

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Perbuatan menipu bagi mengelak daripada membayar cukai di kalangan umat Islam adalah dilarang.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam laman Facebooknya mengingatkan bahawa perbuatan menipu satu bentuk dosa yang ditegah agama.

“Selain daripada itu perbuatan tersebut boleh membawa kepada berkurangnya hasil dana negara, seterusnya menyukarkan kerajaan menyusun atur polisi ekonomi, merancang program-program pembangunan serta menghulurkan bantuan untuk kemaslahatan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik pada petang Rabu.

Menurutnya lagi, kerajaan harus untuk mengenakan cukai terhadap rakyat yang diletakkan dalam satu sistem yang teratur, dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Suasana ekonomi sesebuah negara perlu diambil kira termasuk di Malaysia di mana keadaan ekonomi masih lagi tidak mencukupi untuk hanya bergantung kepada beberapa sumber dan hasil mahsul, justeru keperluan mengenakan cukai adalah bersifat mendesak,” ujarnya.

Jelas kenyataan itu, perbuatan lari daripada membayar cukai (tax evasion) merupakan satu gejala kronik yang menimpa banyak negara, termasuklah Malaysia yang telah mengakibatkan kerugian yang besar.

“Pada tahun 2016, laporan The Malaysian Reserve mendedahkan, kira-kira RM1 bilion cukai tidak diisytiharkan oleh golongan profesional di negara ini.

“Pada 2019 pula, Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendedahkan bahawa Kerajaan kerugian kira-kira RM90 juta pada tahun tersebut berikutan 1,800 kenderaan import yang dibawa masuk ke negara ini 'lari' daripada membayar cukai,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: