RM1.3j bantuan kokurikulum sekolah

NOR EFFANDI
NOR EFFANDI
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kementerian Pendidikan kekal menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.3 juta bagi menggerakan aktiviti kokurikulum di setiap sekolah di Melaka pada tahun ini.

Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi, Nor Effandi Ahmad berkata, jumlah itu sekali gus menafikan kementerian tidak menyalurkan bantuan kokurikulum yang melibatkan seramai 83,658 murid sekolah rendah dengan nilai RM669,264 dan selebihnya disalurkan kepada 77 buah sekolah menengah dengan jumlah pelajar seramai 64,339 menerusi peruntukan RM643,390.

Menurutnya, peruntukan tersebut diberikan berdasarkan jumlah pelajar di setiap sekolah mengikut pengiraan bayaran RM8 bagi murid sekolah rendah manakala RM10 bagi pelajar sekolah menengah supaya aktiviti kokurikulum termasuk persatuan, kelab dan kadet beruniform terus bergerak aktif dalam membentuk kemenjadian murid dengan lebih positif.

"Peruntukan yang dinyatakan itu dinamakan sebagai bantuan kokurikulum, sama sahaja daripada kerajaan dahulu sehingga hari ini ia sama, dan ia memang ada turun naik mengikut keadaan jumlah pelajar.

"Bila kita sebut mengenai aktiviti kokurikulum, ia bukan semata-mata terhad kepada badan beruniform sahaja, namun juga bukan beruniform dan di Melaka terdapat 76 kelab serta persatuan," katanya.

Noor Effandi (Bersatu-Telok Mas) berkata demikian ketika menjawab soalan Rahmat Mariman (BN- Ayer Molek) berkenaan adakah benar tiada lagi peruntukan diberikan kepada aktiviti kokurikulum sekolah ketika Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Melaka ke-14, di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Tambah Noor Effandi, bagaimanapun pengurusan sekolah tidak boleh mengharapkan bantuan kewangan kokurikulum daripada kementerian sahaja, malah penglibatan serta peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga penting dalam memastikan sekolah mampu menambah dana bagi menggerakan pelbagai program dan kegiatan pelajar.

Menurutnya, selain itu juga, pihaknya turut menggalakan penyertaan dan kolaborasi bersama syarikat-syarikat korporat mahupun swasta dalam program sekolah supaya mereka dapat menyumbang sedikit bantuan berbentuk kewangan selain bantuan moral dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan yang kementerian beri cukup bagi tuntuan atau keperluan asas sahaja dan peruntukan memang sentiasa tidak mencukupi dan peranan PIBG dan organisasi luar juga penting," katanya.