Tiga individu diberkas tipu tawaran darjah kebesaran

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan tawaran darjah kebesaran membawa gelaran Datuk Seri melibatkan kerugian RM294,850.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, kesemua suspek berusia 29 hingga 39 tahun itu ditahan pada Khamis dan Isnin lalu.

"Kita turut merampas dokumen pengurniaan darjah kebesaran. Salah seorang suspek mendakwa dirinya bergelar Datuk Seri.

"Hasil semakan dengan Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi, mengesahkan suspek tiada di dalam senarai rekod," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Mahidisham berkata, tangkapan dibuat susulan laporan seorang pengedar kit perubatan farmasi pada 8 Mac.

"Mangsa berusia 33 tahun mendakwa telah ditawarkan darjah kebesaran Datuk Seri oleh salah seorang suspek pada 1 Disember lalu, syaratnya mangsa perlu mendermakan wang sebanyak RM300,000 kepada pihak istana," katanya.

Beliau berkata, mangsa telah buat bayaran tunai sebanyak RM200,000 serta pindahan wang sebanyak RM94,850 ke dalam akaun suspek sejak 14 Januari hingga 31 Januari lalu.

"Mangsa telah diberikan dokumen watikah penganugerahan darjah kebesaran, dua keping kad Ahli Setia Diraja dan dua unit logo atau emblem kereta darjah kebesaran mlik sebuah negeri.

Artikel Berkaitan:

"Walau bagaimanapun, rakan mangsa yang merupakan seorang Datuk Seri memaklumkan pelantikan tersebut adalah meragukan," katanya.

Mohd Mahidisham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) (b) Akta Kesalahan Yang Berhubung dengan Anugerah 2017.

"Orang ramai dinasihatkan membuat semakan penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat secara dalam talian melalui istiadat.gov.my.

"Jangan mudah percaya berdasarkan pengakuan lisan gelaran Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat sebaliknya semak watikah pelantikan," katanya.