Jangan tambah lagi pusara di jalan raya

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mendedahkan bahawa penunggang motosikal dalam kalangan belia mencatat kes kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya. - Foto 123RF
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mendedahkan bahawa penunggang motosikal dalam kalangan belia mencatat kes kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya. - Foto 123RF
A
A
A

SABAN hari kita dikejutkan dengan perkhabaran duka kemalangan jalan raya di seluruh negara.

Dengan kewujudan teknologi kamera papan pemuka atau dash cam di dalam dunia automotif, rakaman kejadian dapat dilihat.

Misalnya, kemalangan yang membabitkan jurusolek pengantin di Kuala Nerus baru-baru ini.

Mangsa yang dalam perjalanan ke rumah pengantin, maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

Setiap kali menatap paparan video yang tular, pasti ramai tersentak, berasa ngeri dan pada masa yang sama rasa sayu, lebih-lebih lagi apabila membabitkan kehilangan nyawa yang tiada galang gantinya.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada 2020 sebanyak 418,237 kemalangan dicatatkan di Malaysia, dengan Selangor mendahului sebanyak 123,230 kes.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mendedahkan bahawa penunggang motosikal dalam kalangan belia mencatat kes kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya.

Menurut beliau, sepanjang tempoh 2019 hingga 2021, secara purata sebanyak 7,077 kes kemalangan melibatkan belia direkodkan setiap tahun yang mencecah 50 peratus jumlah kematian.

Artikel Berkaitan:

Belia adalah harapan aset negara. Justeru, pendedahan angka tersebut sudah semestinya membimbangkan.

Berdasarkan laporan penyiasatan pelanggaran dikeluarkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 2020, tingkah laku pemanduan berisiko dan memandu melebihi had laju menjadi penyumbang bilangan kematian tertinggi.

Laporan PDRM menerusi Op Selamat 16/2020 yang dijalankan pada Februari 2020 pula mendedahkan, kecuaian sendiri dan penunggang motosikal adalah punca utama kemalangan maut berlaku.

Tabiat memandu sambil bermain gajet seperti telefon bimbit juga salah satu penyumbang statistik kemalangan diakibatkan oleh kesalahan memandu secara cuai.

Memang benar, teknologi itu sudah sebati dan menjadi sebahagian daripada hidup kita kini, namun ia bukan alasan untuk menggunakannya ketika memandu.

Berdasarkan statistik PDRM, faktor kecuaian menyumbang kepada kira-kira 10 peratus daripada jumlah kemalangan di jalan raya.

Dalam kajian oleh Miros, tahap keseriusan pemandu yang menggunakan telefon bimbit amat membimbangkan sehinggakan PDRM meletakkan ia sebagai salah satu daripada enam punca utama berlakunya kemalangan jalan raya di Malaysia.

Bagaimanapun, tidak semua kemalangan disebabkan oleh kecuaian semata-mata. Keadaan jalan raya turut menjadi punca kecelakaan.

Sedar atau tidak, PDRM pernah melaporkan laluan di Kilometer (KM) 0.6 hingga KM 11.3 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) berdekatan Shah Alam telah dikenal pasti sebagai lokasi paling kerap berlaku kemalangan sejak 2016 hingga Jun 2020 yang mencatat sebanyak 6,363 kes kemalangan sepanjang tempoh berkenaan.

Tidak sekadar itu, jumlah kenderaan yang semakin meningkat juga menjadi punca terjadinya kemalangan.

Jika 20 tahun dahulu, hanya sibuk pada waktu puncak sahaja tetapi kini keadaan sudah berubah. Kenderaan sentiasa bertali arus di jalan raya tanpa mengira waktu.

Perangkaan daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia menunjukkan sehingga Januari 2021, Malaysia mempunyai sebanyak 14,951,029 buah motosikal, 15,276,772 buah kereta dan 1,328, 146 kenderaan barangan.

Selain itu, banyak kes kemalangan maut dilaporkan berpunca daripada pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah.

Ia masih berleluasa dan perlu dipandang serius agar lebih banyak nyawa dapat diselamatkan. Penguatkuasaan undang-undang dan operasi oleh pihak berkuasa perlu diperhebat agar ia dapat ditangani secara tuntas.

Janganlah sudah terhantuk baru tengadah. Bersama-samalah kita mematuhi undang-undang jalan raya, memandu secara berhemah dan memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik.

Pihak berwajib juga wajar lebih cakna aspek penyelenggaraan dan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang agar kemalangan jalan raya dapat dikawal.

* Azma Mohd Lazim ialah Wartawan SinarPlus